Jaga suami sakit sambil buat 3 kerja. Kuat semangat mu Shafiqa

Jaga suami sakit sambil buat 3 kerja. Kuat semangat mu Shafiqa

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sebagai manusia biasa, saya banyak buat silap. Jadi mungkin Allah SWT uji sebab nak bagi saya peluang kumpul pahala jaga suami sakit walaupun sangat mencabar,”.

Itu luahan Shafiqa Aniera Shadi, 28, yang bertahan walaupun diuji menjaga suami sakit angin ahmar selain perlu menjaga tiga anak masih kecil.

Shafiqa Aniera mengakui tidak mudah berdepan ujian itu selain perlu menyesuaikan diri dengan rutin harian dan kehidupan yang berubah 180 darjah.

Bagaimanapun Shafiqa Aniera berkata, dia berusaha bangkit dengan sokongan keluarga yang memberi kekuatan.

Bercerita lanjut, Shafiqa Aniera berkata, suaminya, Muhammad Noor Ridzuan Abd Rahim,30, seorang yang ceria, banyak bercakap dan peramah sebelum ini.

“Suami melakukan dua pekerjaan iaitu sebagai pemandu bas pelancong dan penunggang p-hailing. Namun dia tidak dapat lagi bekerja selepas jatuh sakit pada Januari lalu.

“Suami diserang angin ahmar pada 2 Januari lalu selepas rebah di rumah dan mengalami sawan.

“Suami kemudian dibawa ke Hospital Ampang. Hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan salur darah di kepalanya pecah hingga terpaksa menjalani pembedahan membuka tempurung kepala.

“Suami tak sedarkan diri dan doktor maklumkan peluang untuk hidup hanyalah 50 peratus.

Tiga minggu suami koma dan terpaksa ditebuk di leher untuk bernafas,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, di sini.

Bercerita lanjut, Shafiqa Aniera berkata, rutin hariannya adalah menghantar dan mengambil anak dari sekolah sebelum menguruskan suaminya yang kini masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 26 Julai lalu.

Demi kelangsungan hidup, Shafiqa Aniera berkata, dia melakukan tiga pekerjaan iaitu menjual kek batik, mengambil upah menghasilkan rekaan grafik dan potret untuk jam tangan, cawan serta ‘drop off’ produk di rumah.

“Sebelum ini saya bekerja di kedai buku tetapi terpaksa berhenti untuk menjaga suami.

“Tak mudah sebenarnya bila suami sakit. Saya hilang separuh jiwa kerana dahulu bergantung kepadanya,” katanya yang menerima elaun RM500 dan bantuan barangan keperluan daripada Baitulmal serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Jauh di sudut hati, Shafiqa Aniera masih menaruh harapan untuk melihat suaminya kembali sihat seperti dulu.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 114142152109 atas nama Shafiqa Aniera Shadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top