Jaguh makan AS telan 70 roti sosej dalam masa 10 minit

Jaguh makan AS telan 70 roti sosej dalam masa 10 minit

BROOKLYN: Jaguh makan kompetitif, Joey Chestnut, merampas semula gelarannya dalam pertandingan tahunan apabila menelan 70.5 sosej dan roti dalam masa 10 minit sempena sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) semalam.

Warga Amerika berusia 41 tahun itu tidak menyertai edisi 2024 selepas menandatangani kontrak bersama syarikat makanan berasaskan tumbuhan, Impossible Foods, yang turut menghasilkan roti sosej.

Namun, pada tahun ini beliau dibenarkan bertanding dan membuat kemunculan semula yang membanggakan di Coney Island, New York.

Chestnut menewaskan juara tahun lalu, Patrick Bertoletti dari Chicago, dengan kelebihan 24 roti sosej, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai lagenda jaguh makan kompetitif.

Ia menandakan kali ke-17 Chestnut merangkul ‘Tali Pinggang Mustard’ yang menjadi simbol keunggulan dalam pertarungan gastronomi itu, dan kemenangan kesembilannya dalam tempoh 10 tahun.

“Saya agak gementar. Beberapa roti sosej pertama saya agak kelam-kabut, tetapi akhirnya mendapat rentak yang baik,” katanya kepada saluran ESPN selepas kemenangan tersebut.

Walaupun menewaskan pencabarnya dengan keputusan selesa, Chestnut berharap dapat memberikan persembahan yang lebih baik dan mencabar rekod peribadi serta dunia sebanyak 76 roti sosej dalam 10 minit.

“Sasaran saya adalah antara 70 hingga 77. Sebenarnya saya mahukan sedikit lagi, tetapi saya akan cuba semula tahun depan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau gagal memecahkan rekod dunia miliknya sendiri sebanyak 76 roti sosej dalam 10 minit yang dicatatkan pada 2021.

Pertandingan makan roti sosej merupakan acara tradisi tahunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan AS, dan sering menarik perhatian sukan ekstrem dan peminat makanan di seluruh dunia.- AFP

 

Scroll to Top