Jaguh terjun China hampir bersara akibat tekanan mental

Jaguh terjun China hampir bersara akibat tekanan mental

Beijing: Penerjun China yang memenangi tiga pingat emas Olimpik, Quan Hongchan mengakui pernah mempertimbangkan untuk bersara selepas bergelut dengan kesihatan mental, selain berdepan tekanan hebat terhadap isu berat badannya.

Atlet berusia 19 tahun itu mencipta sensasi apabila memenangi emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 ketika baru berusia 14 tahun, sebelum menambah dua lagi emas di Olimpik Paris 2024.

Kini selepas muncul antara atlet paling popular di China, orang ramai sering membanjiri kampung halamannya di wilayah Guangdong dan mengerumuninya di hotel.

Quan, dalam nada sebak berkata, dia mula mengalami haid selepas Olimpik Paris, yang menyebabkan berat badannya meningkat walaupun hanya “makan sedikit”.

“Selepas Olimpik, saya sebenarnya terfikir untuk bersara,” katanya dalam temu bual bersama majalah China, Renwu.

“Saya benar-benar mahu berhenti, tetapi akhirnya saya masih mahu teruskan dan kekal dalam sukan terjun.”

Selepas membuat keputusan itu, Quan berkata dia sering ditanya mengenai berat badannya, hingga memaksanya berlatih lebih keras dan berlari untuk menurunkan berat.

“Dalam tempoh itu, bukan sahaja dalam pasukan tetapi juga dari pandangan orang luar, setiap hari saya lihat orang kata saya gemuk,” katanya.

“Tetapi saya sebenarnya sudah berlapar, saya berdiet sampai rasa hampir pengsan,” tambahnya.

“Semua orang tahu berat badan adalah mimpi ngeri bagi penerjun wanita.”

Fenomena peminat terhadap atlet China turut melibatkan obsesi terhadap kehidupan peribadi dan juga serangan siber terhadap pihak lain.

Media kerajaan menyifatkan tingkah laku ini sebagai ‘fandom toksik’ dan pihak berkuasa China berjanji akan mengambil tindakan tegas.

Quan berkata perhatian dan kritikan yang diterimanya membuatkan dia takut berdepan kamera.

“Saya sudah sampai had saya. Saya penat fizikal, mental, emosi, semuanya bertindih,” katanya, sambil menambah kecederaan turut memburukkan keadaan.

Akhbar China Daily sebelum ini melaporkan pada November bahawa Quan kini mempunyai badan lebih besar selepas kembali bertanding di temasya Sukan Kebangsaan China pada hujung 2025 selepas rehat enam bulan.

Pengguna media sosial tampil memberi sokongan kepada Quan selepas temu bual tersebut.

“Sama ada kamu mahu teruskan atau tidak dalam sukan terjun, itu keputusan kamu sepenuhnya. Buat apa yang kamu mahu. Kamu tidak berhutang apa-apa kepada sesiapa,” tulis seorang pengguna di platform Weibo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top