JAINJ tahan dua lelaki berdua-duaan, 'lakukan sesuatu' dalam kereta

JAINJ tahan dua lelaki berdua-duaan, 'lakukan sesuatu' dalam kereta

am@hmetro.com.my

Mersing: Seorang lelaki tempatan dan seorang warga asing ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dilihat berdua-duaan dan ‘melakukan sesuatu’ dalam kereta bergoyang, jam 6 petang semalam.

JAINJ dalam satu kenyataan berkata, mereka ditahan penguat kuasa jabatan berkenaan yang sedang membuat pemeriksaan ketika rondaan dan memeriksa kereta-kereta ‘rosak’ di sekitar daerah itu.

Katanya, penguat kuasa yang menaiki van cuba menghampiri sebuah kereta yang sedang berhenti dari arah belakang, namun dilihat ‘bergoyang’ dengan enjin dan pendingin hawa dalam keadaan hidup.

“Penguat kuasa turun dari van dan pergi ke tingkap kereta. Cermin tingkap belakang kiri dan kanan tidak berapa gelap dan penguat kuasa boleh nampak apa yang berlaku di dalam kereta.

“Penguat kuasa nampak dua lelaki ‘buat sesuatu’ dan penguat kuasa terus mengetuk pintu sambil menunjukkan kad kuasa,” katanya.

Menurut JAINJ, pintu kereta dibuka seminit kemudian oleh salah seorang lelaki berkenaan.

Katanya, penguat kuasa kemudian mengarahkan dua lelaki berkenaan keluar, tetapi mereka tidak terus keluar kerana mereka berdua tidak memakai seluar dan dua-dua hanya memakai kemeja T sahaja.

“Lelaki pertama berusia 30-an dan merupakan lelaki tempatan, namun masih bujang, berasal dari negeri lain dan bekerja di daerah ini.

“Lelaki kedua pula berusia 20-an, seorang warga Pakistan beragama Islam, mempunyai pasport, masih bujang dan mengaku tidak bekerja,” jelasnya.

Soal siasat kemudian mendapati pasangan itu berkenalan melalui sebuah aplikasi internet iaitu lelaki tempatan ini yang menawarkan ‘servis’ kepada lelaki.

“Dia tidak menipu identiti sebagai wanita, tetapi berterus terang sebagai lelaki gersang untuk dibelai, didamba dan diusap manja oleh lelaki sejati.

“Mereka seterusnya mengatur pertemuan di dalam kereta untuk menjimatkan kos sewa bilik. Mereka berkenalan dalam seminggu dan ini adalah pertemuan kali pertama mereka.

“Soal siasat seterusnya, mereka kata buat suka sama suka tanpa bayaran,” katanya.

Kedua-duanya lelaki itu kemudian ditangkap untuk siasatan mengikut Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau kedua-duanya sekali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top