Jainudin mahu terus sumbang usaha mantapkan mahkamah syariah

Jainudin mahu terus sumbang usaha mantapkan mahkamah syariah

JOHOR BAHRU – Bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Johor, Jainudin Mt Sum@ Munajat berhasrat meneruskan usaha memantapkan lagi kedudukan mahkamah syariah khususnya di negeri dan Persekutuan.

Jainudin, 75, yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446H Johor pada hari ini berkata, usaha tersebut perlu dilakukan bagi memastikan masyarakat Islam mendapat keadilan yang lebih baik.

“Mudah-mudahan Johor tidak ketinggalan untuk bersama memartabatkan pengharapan masyarakat Islam dengan memperkasakan mahkamah syariah negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan di sini.

Bapa kepada lima anak itu menerima anugerah berserta wang tunai RM12,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut.

Sementara itu, Jainudin berkata, anugerah tersebut akan dijadikan sebagai inspirasi kepada semua masyarakat dalam menyumbangkan sesuatu kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya berharap dengan anugerah yang diterima menjadi inspirasi terutama kepada anak-anaknya, sahabat serta semua kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang sesuatu selagi kita hidup,” katanya.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Kadi Daerah Kluang pada 1981 sebelum dilantik sebagai hakim syarie bermula 1992 sehingga bersara pada 2005.

“Saya kemudian dilantik sebagai Ahli Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Johor sejak 2014 sehingga kini,” katanya.

Anak jati Pontian itu yang mempunyai 10 cucu juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Teologi Universiti Al-Azhar, Mesir, selain Diploma Pentadbiran Kehakiman daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Norjinah Abdullah, 63, sentiasa menjadi tempat rujukan masyarakat dalam bidang perundangan dan aktif dalam program bersama anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Anugerah Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Johor turut diberikan kepada Datuk Marsan Kasim bagi Kategori Kemasyarakatan dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta sijil penghargaan.

Anugerah Maal Hijrah 1446H bagi kategori belia pula diberikan kepada Mohd Faiz Mohamad, kategori saudara kita dianugerahkan kepada Nor Hayati Josie Abdullah dan Abd Samad Hamid menerima anugerah itu bagi kategori Orang Asli.

Ketiga-tiga mereka menerima wang tunai RM5,000 berserta sijil penghargaan setiap seorang. – MalaysiaGazette

Scroll to Top