Jais dapat kerjasama PDRM siasat 612 individu berkait GISBH

Jais dapat kerjasama PDRM siasat 612 individu berkait GISBH

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapat kerjasama penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat 612 individu berkait GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, 612 individu itu disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Seramai 386 individu yang diklasifikasikan sebagai mangsa yang diselamatkan akan ditemu bual, 184 individu sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) disiasat untuk tujuan pendakwaan, manakala baki 42 individu masih menunggu klasifikasi PDRM.

“Sehingga petang ini, lebih 100 OYDS ditangkap oleh Jais untuk disiasat dan dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk mewujudkan mekanisme mudah dan cepat berikutan tindakan GISBH memungut wang atau sumbangan untuk kepentingan mereka.

“Ini akan memastikan sumbangan umat Islam yang berniat baik dan ikhlas tidak disalah guna oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan atas dasar simpati dan agama.

“Umat Islam di Selangor diminta sentiasa terus menjadi mata kepala kepada Mais dan Jais dalam mengesan pergerakan awal, mengekang dan membanteras apa juga bentuk penyelewengan akidah yang berlaku dengan membuat aduan ke Talian Hotline Jais 1800-88-2424,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top