JAKARTA: Gabenor Jakarta, Pramono Anung mengumumkan perkhidmatan pengangkutan awam percuma di ibu negara sepanjang sambutan Aidilfitri bagi mewujudkan suasana perayaan yang lebih inklusif dan selesa buat penduduk yang tidak pulang ke kampung halaman.
Dasar tersebut merangkumi mod pengangkutan utama termasuk MRT, LRT, perkhidmatan bersepadu JakLingko serta bas Transjakarta. Aidilfitri dijangka jatuh pada 20 hingga 21 Mac ini.
Pramono membuat pengumuman tersebut ketika merasmikan Festival Ramadan Jakarta di bulatan Hotel Indonesia, Jakarta Pusat semalam.
Beliau menjelaskan pengecualian tambang itu bertujuan menggalakkan warga kota merayakan Aidilfitri di ibu negara, memandangkan bukan semua penduduk pulang ke kampung semasa lebaran.
“Sepanjang Aidilfitri, kami akan menawarkan tambang percuma bagi pengangkutan awam di Jakarta,” kata Pramono.
Tambah beliau, dasar itu juga direka untuk menguruskan kesesakan lalu lintas yang kebiasaannya meningkat semasa tempoh cuti umum memandangkan orang ramai akan berkunjung ke rumah saudara-mara serta melawat pusat pelancongan di sekitar bandar.
Dengan memansuhkan tambang, pentadbiran bandar raya berharap lebih ramai penduduk akan beralih daripada kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam.
“Daripada terperangkap dalam kesesakan atau melancong ke luar negara untuk membeli-belah, adalah lebih baik untuk kekal di Jakarta,” ujar Pramono.
Selain insentif pengangkutan, pentadbiran Jakarta turut menyediakan langkah rangsangan untuk sektor perhotelan dan pusat beli-belah.
Pramono berkata, bandar itu juga akan menawarkan insentif cukai kepada perniagaan supaya mereka dapat memberikan diskaun besar sepanjang tempoh perayaan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada program Aidilfitri 2026, Jakarta juga merancang siri acara hiburan bermula 31 Mac, termasuk festival cahaya dan kempen tematik yang dikenali sebagai Mudik ke Jakarta.
Konsep tersebut mempromosikan ibu kota itu sebagai destinasi percutian yang menarik dengan keunikannya yang tersendiri.-AGENSI



