PADANG RENGAS: Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) berharap masyarakat tidak hilang kepercayaan terhadap pengurusan zakat terutama oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, beliau menyedari akan laporan berita tentang penyelewengan pengurusan wang zakat sejak beberapa hari lalu.
Namun katanya, perkara tersebut tidak melibatkan MAIN yang diberi kepercayaan untuk mengutip zakat.
“Kita tidak mahu menyentuh dan membuat kesimpulan. Biar pihak berkuasa membuat siasatan sewajarnya. Namun begitu, kepada masyarakat di luar sana, percayalah bahawa MAIN yang diberi kepercayaan untuk kutipan zakat tidak terlibat dalam situasi ini.
“Apa yang berlaku adalah di peringkat pihak ketiga,” katanya semasa majlis peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tentang pengurusan zakat susulan laporan penahanan beberapa individu berhubung penyelewengan dana berjumlah jutaan ringgit.
“Percayalah dengan agensi-agensi agama di peringkat negeri bahawa mereka melaksanakan tanggungjawab dengan seikhlas hati dengan memenuhi semua kriteria dan prosedur yang telah ditetapkan. Janganlah tidak percaya kepada Majlis agama Islam negeri-negeri,” tambahnya.
Katanya, isu pembayaran zakat di luar dari tempat tinggal atau pihak negeri lain yang mengutip zakat di negeri berbeza juga telah dibincangkan melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Perkara ini telah diputuskan oleh pihak Muzakarah dan telah dibentangkan sehingga ke Majlis Raja-Raja dan telah mendapat perkenan bahawa perkara itu adalah menjadi kesalahan.
“Sekarang di peringkat negeri-negeri untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak dari negeri yang lain mengutip zakat di negeri mereka.
“Ertinya hanya amil yang bertauliah bagi negeri tersebut sahaja yang layak dan bertanggungjawab diberi kuasa untuk mengutip zakat sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta dan sebagainya di negeri tersebut,” katanya.
Sementara itu, Kampung Buaya di sini dijadikan Kampung Angkat Madani Jakim manakala Sekolah Kebangsaan Tun Dr. Ismail dipilih sebagai Sekolah Angkat Madani Jakim.
Kampung dan sekolah itu masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM500,000 dan RM100,000 untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan ekonomi kampung serta pendidikan. – UTUSAN



