JAKIM tolak rayuan 80 murid UPKK sekolah tidak berdaftar

JAKIM tolak rayuan 80 murid UPKK sekolah tidak berdaftar

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Langat: Permohonan rayuan dibuat sebuah sekolah agama swasta tidak berdaftar, di sini, bagi 80 murid sekolah berkenaan menduduki Ujian Penilaian Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 ditolak pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bahagian Pendidikan, JAKIM, dalam maklum balas dihantar kepada wakil ibu bapa menerusi emel memaklumkan pihaknya ada menerima surat permohonan rayuan bagi 80 murid sekolah berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan semakan dilakukan pihaknya mendapati murid-murid terbabit tidak mendaftar sebagai calon UPKK 2025.

“Semakan silang dan perbincangan dibuat dengan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati bahawa sekolah itu tidak berdaftar dengan JAIS selaku agensi pelaksana Sistem Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) negeri.

“Sekolah itu tidak mematuhi kriteria seperti dalam syarat pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Selangor serta lokasi operasi tanpa kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini bermakna sekolah itu beroperasi menyalahi Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor, 1988. Semua perkara itu menyebabkan murid-murid terbabit tidak dapat didaftarkan sebagai calon UPKK,” katanya.

Menurutnya, guru besar sekolah berkenaan ada beberapa kali menghubungi Pengarah Pendidikan JAKIM dan suatu pertemuan diadakan pada 30 Oktober lalu.

Katanya, isu itu juga sudah dibincangkan oleh Pengarah Pendidikan (JAKIM) bersama Ketua Pengarah (JAKIM) dan Timbalan Ketua Pengarah (JAKIM).

“Dalam pertemuan itu, guru besar sekolah berkenaan memohon rayuan kali kedua secara bersemuka bagi murid Tahun 5 terbabit menduduki UPKK.

“Namun, rayuan itu tidak dapat ditunaikan oleh pihak JAKIM. Pihak sekolah itu sudah dimaklumkan bahawa calon rayuan perlu mematuhi peraturan ditetapkan.

“Mereka (pihak sekolah) perlu mengemukakan permohonan rayuan selewat-lewatnya pada Julai lalu melalui agensi pelaksana (JAIS) sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Penyelarasan Kafa Persekutuan JAKIM,” katanya.

Katanya, kegagalan rayuan itu adalah kerana semua calon UPKK bagi tahun ini sudah didaftarkan angka giliran yang dijana melalui Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI).

“Ujian lisan bagi mata pelajaran al-Quran (UPKK01), amali solat dan penghayatan cara hidup Islam (PCHI) juga selesai dilaksanakan mengikut takwim ditetapkan oleh JAKIM.

“Pengumpulan markah bagi tiga mata pelajaran itu juga sudah dihantar di peringkat daerah oleh Setia usaha Peperiksaan (SuP). Manakala, UPKK yang dijadualkan pada 17 hingga 20 November ini adalah pelaksanaan ujian bertulis bagi enam mata pelajaran lain.

“Proses pembungkusan dan pengedaran Kertas Peperiksaan UPKK 2025 sudah diproses ke semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak berdasarkan bilangan calon dan jumlah pusat peperiksaan yang didaftarkan,” katanya.

Menurutnya, UPKK dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan ditetapkan pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan pengendali peperiksaan yang terikat dengan Akta Rahsia Rasmi 1942.

Katanya, ia bagi menjamin kerahsiaan dan integriti selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-51 pada 25 Mei 2010 yang mengiktiraf peperiksaan UPKK adalah setaraf dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Pihak JAKIM rasa terkilan atas perkara itu membabitkan 80 murid terbabit gagal menduduki UPKK hanya kerana isu pendaftaran sekolah yang gagal diurus dengan baik oleh pihak pentadbir sekolah.

“Justeru itu, ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil langkah proaktif dengan memastikan institusi pendidikan dipilih adalah berdaftar dengan pihak berwajib.

“Perkara ini penting diberi perhatian bagi mengelakkan murid-murid yang mempunyai potensi akademik terlepas peluang untuk menduduki peperiksaan penting seperti UPKK,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top