Jalan Batu Lima, Kuala Ketil ditutup akibat mendapan serius

Jalan Batu Lima, Kuala Ketil ditutup akibat mendapan serius

am@hmetro.com.my

Baling: Jalan Batu Lima, Kuala Ketil, di sini, ditutup sepenuhnya selepas laluan berkenaan mengalami mendapan serius dan berlubang di beberapa lokasi akibat kebocoran paip bawah tanah, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya negeri Datuk Mohammad Yusof @ Munir Zakaria berkata, penutupan itu dibuat sebagai langkah kecemasan kerana ia menyebabkan hakisan tanah serta mengganggu struktur jalan.

“Permukaan jalan didapati tidak lagi stabil dan membahayakan semua jenis kenderaan, maka tindakan menutup laluan sepenuhnya diambil demi keselamatan pengguna.

“Pihak konsesi bersama JKR (Jabatan Kerja Raya) telah memasang peralatan kawalan trafik (TMP) dan menyediakan makluman laluan alternatif kepada pengguna untuk laluan dari Sungai Petani dan Kulim,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pengguna dari arah Sungai Petani atau Kulim dinasihatkan menggunakan laluan alternatif (Kulim-Kupang-Gerik) dan melalui Padang Geh dan Kampung Besah.

Manakala katanya, pengguna dari arah Kupang dan Baling perlu membuat lencongan melalui jalan di simpang Batu Empat, Tawar, di sini.

Sementara itu, penduduk berhampiran bertindak pantas membantu menutup laluan selepas menyedari risiko kepada pengguna jalan raya yang masih menggunakan laluan itu, malam tadi.

Muhammad Amirul Danial Abdullah, 17, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam sebelum ia disedari oleh penduduk yang menggunakan jalan berkenaan.

Katanya, dia bersama beberapa rakannya segera ke Balai Polis Kuala Ketil untuk memohon bantuan kon keselamatan dan tali bagi menutup jalan yang sudah mula retak dan berlubang.

“Saya berada di rumah ketika kejadian dan ada kawan telefon minta bantuan kerana tidak ada yang jaga laluan itu.

“Kawan-kawan lain bantu jaga jalan untuk elak kejadian tidak diingini, saya dan beberapa kawan lain pula terus ke balai polis minta kon dan tali kuning.

“Alhamdulillah, MPV (Unit Kereta Peronda) sampai dan tolong kawal laluan. Kami pun sama-sama bantu letak tanda dan arahkan kereta supaya elak laluan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kejadian berlaku berhampiran Taman Melati, Kuala Ketil dan ia sangat berisiko kepada kenderaan termasuk motosikal.

“Jalan itu macam nak terbelah dua… air terlalu banyak dan jalan mendap dan pecah, jika ada kenderaan lalu sangat risiko berlaku tanah runtuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top