Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, telah meninjau kerja-kerja pengisaran dan penurapan semula jalan di Lebuhraya KL–Seremban, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Ampang.
59 kilometer jalan protokol akan diselenggara
Menerusi kenyataannya yang dikongsikan di media sosial, Hannah memaklumkan sebanyak 59 kilometer jalan protokol dan utama di Kuala Lumpur, melibatkan keluasan kira-kira 1.3 juta meter persegi, akan diturap dan diselenggara secara berperingkat.
“Jalan raya yang selamat bukan kemewahan. Ia tanggungjawab asas DBKL,” ujarnya.
Difahamkan, fasa pertama melibatkan lima laluan dengan kos keseluruhan RM61.64 juta dan mula dilaksanakan secara berperingkat pada Ogos 2026.
Fasa kedua pula melibatkan tiga laluan yang bermula pada September 2026, dengan setiap fasa mempunyai tempoh pelaksanaan selama 24 minggu.
Antara laluan yang terlibat ialah Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Damansara, Jalan Istana, Bulatan Syed Putra hingga Mid Valley Megamall, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak.

Jelas Hannah lagi, skop kerja bukan sekadar penurapan semula jalan, malah merangkumi pembaikan kerb, penyelarasan aras manhole, penandaan semula garisan jalan, penyelenggaraan jambatan serta pemasangan kemudahan keselamatan jalan raya.
Projek itu dimaklumkan mensasarkan peningkatan jangka hayat turapan sehingga 50 peratus dengan memastikan 100 peratus kawasan terlibat bebas daripada lubang serta mengurangkan kos penyelenggaraan rutin sehingga 40 peratus.
Justeru itu, bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya, kerja-kerja penurapan dilaksanakan pada waktu malam, antara 10 malam hingga 5 pagi.
Keseluruhan program itu dijadualkan berlangsung dari Ogos 2026 hingga Februari 2027.
Hannah turut merakamkan penghargaan kepada pasukan DBKL yang bekerja sepanjang malam demi keselamatan dan keselesaan warga kota.
Sumber: Facebook Hannah Yeoh




