am@hmetro.com.my
Gua Musang: Lebih 3,000 penduduk di lima kampung di sini berhadapan dengan masalah jalan rosak apabila jalan kampung itu digunakan kenderaan berat sebagai laluan alternatif ke tapak projek pembinaan empangan sejak enam bulan lalu.
Penduduk mendakwa, hampir setiap hari lebih 30 kali lori dengan berat melebihi 20 tan menggunakan jalan Kampung Bertam Lama ke Kampung Jelekang untuk menghantar batu ke kawasan projek pembinaan empangan.
Difahamkan laluan jalan kampung itu adalah jalan alternatif yang lebih singkat tempoh perjalanan ke tapak projek pembinaan berkenaan.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bertam Lama, Mohd Azhri Hasan, 57, berkata dianggarkan terdapat lebih 100 kerosakan berlaku di sepanjang laluan itu seperti jalan berlubang, mendap dan pecah.
Katanya, lebih merisaukan kami adalah keselamatan penduduk terutamanya anak-anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam di Kampung Bertam Baru dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara di Kampung Jerek yang kerap berselisih dengan lori berkenaan.
“Selain itu jalan ini turut digunakan penduduk Kampung Bertam Baru, Kampung Lulut, Kampung Toseng, Kampung Sri Mahligai dan Kampung Ingin Maju yang terletak di Dabong, Kuala Krai.
“Laluan ini juga turut menjadi laluan alternatif penduduk dari Gua Musang untuk ke Kuala Krai dan Jeli. Rasa agak kecewa apabila masalah kami ini seakan dipandang sepi oleh pihak berwajib yang tidak mengambil sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bertam Lama, di sini.
Bagi Zulkifli Ibrahim, 61, berkata penduduk juga berhadapan dengan pencemaran bunyi, debu dan habuk.
“Rumah saya yang terletak di tepi jalan juga kerap terkena kesan tanah daripada tayar lori. Baru-baru ini paip air rumah saya juga pecah dipijak lori lebih muatan.
“Saya berharap syarikat lori batu dapat bertanggungjawab dengan membaiki atau membaik pulih kerosakan jalan kampung ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang turut meninjau lokasi jalan rosak di Kampung Bertam Lama berharap pihak syarikat berkenaan dapat bertanggungjawab terhadap kerosakan jalan kampung.
Katanya, pihaknya berharap syarikat lori atau pembekal batu dan pasir yang melalui jalan itu dapat menggunakan jalan lain untuk dilalui.
“Insya-Allah saya akan memastikan jalan ini cepat dibaiki demi keselesaan dan keselamatan nyawa penduduk.
“Saya berharap pihak syarikat yang membekalkan pasir dan batu ini lebih bersikap tanggungjawab. Kita tak nak apabila sudah habis kontrak mereka akan tinggalkan jalan rosak dan itu akan memberi satu penyeksaan kepada orang kampung di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd