
Penduduk di sebuah kampung di Donggala terpaksa mengusung jenazah dengan menaiki motosikal disebabkan jalan rosak.
SULAWESI TENGAH, INDONESIA – Penduduk sebuah kampung di Donggala, Pinembani di sini terpaksa mengusung jenazah menaiki motosikal sejauh 40 kilometer akibat jalan rosak dan ketiadaan ambulans.
Ariel Huma yang juga seorang penjawat awam meninggal dunia di rumahnya di Desa Palentuma kira-kira jam 12.03 pagi pada Khamis lalu.
Abang iparnya, Erik berkata, lelaki itu masih bekerja seperti biasa dari siang hingga petang pada hari kejadian termasuk berulang-alik dari pejabat ke kampung untuk bertemu penduduk.
“Bagaimanapun, Ariel meninggal dunia secara mengejut pada waktu malam tanpa mengadu sebarang kesakitan.
“Bapa mentua saya cuba menghubungi Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Pinembani untuk meminta ambulans, namun dimaklumkan bahawa kenderaan tersebut mengalami kerosakan,” katanya kepada media Indonesia, Detikcom.
Erik berkata, keluarga akhirnya mengambil inisiatif membawa jenazah menggunakan motosikal kerana laluan ke kawasan itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan lasak.
“Jika hujan, jalan menjadi sangat berbahaya dan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan,” ujarnya.
Jenazah kemudian dibawa sejauh 40 kilometer menaiki motosikal sebelum dijemput ambulans dari Kabupaten Sigi untuk dibawa ke hospital di Kota Palu.
Kisah menyentuh hati itu menarik perhatian ramai selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial dan dilaporkan oleh Detikcom.
Menerusi video berkenaan, jenazah dilihat dibalut dengan kain tenun merah hitam, disandarkan menggunakan batang kayu dan diikat kemas pada tempat duduk belakang motosikal, sebelum dibawa dengan iringan penduduk kampung.