Jalan sesak, nyawa melayang

Jalan sesak, nyawa melayang

am@hmetro.com.my

Melaka: Berani mati dan pentingkan diri sendiri. Itu sikap segelintir pengguna jalan raya yang kerap membuat pusingan U secara haram di Jalan Tun Abdul Razak dekat simpang jalan utama ke Taman Ayer Keroh Heights (TAKH) di sini semata-mata mahu jalan singkat ke destinasi masing-masing.

Walaupun papan tanda larangan membuat pusingan U dan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di persimpangan itu dan jalan utama, ia nampaknya tidak memberi gentar kepada pengguna yang degil.

Keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan laluan terbabit bertambah sesak terutama pada waktu puncak, malah membahayakan keselamatan pengguna lain apabila berlaku kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal.

Peniaga kuih, Mohd Hidir Mohd Jalil, 65, berkata, situasi demikian sudah berlarutan lama namun ada segelintir pengguna seolah-olah tidak mengambil iktibar kemalangan yang pernah berlaku di kawasan itu akibat pelanggaran undang-undang.

“Sudah jelas papan tanda larangan membuat pusingan U namun segelintir pemandu kereta dan penunggang motosikal masih ingar.

“Saya perhatikan ada kenderaan dari arah Plaza Tol Ayer Keroh, jika hendak cepat ke kilang berdekatan Pejabat Pos akan terus sahaja buat pusingan di simpang ini.

“Keadaan ini berbahaya dan kadang kala menyebabkan kemalangan dengan kenderaan yang dalam laluan lurus dari persimpangan lampu isyarat Stesen Petronas,” katanya ditemui di lokasi.

Imam Masjid Ubudiah, TAKH, Yazid Lanak, 57, (gabar kecil) pula berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa menentukan langkah terbaik untuk mengelak lebih banyak berlaku kemalangan di situ.

“Jalan di sini memang sibuk kerana kenderaan yang datang dari arah pusat bandar dan lebuh raya. Ada yang tidak ikut undang-undang, sesuka hati buat pusingan U di simpang masuk, jadi sesiapa saja berisiko kemalangan.

“Saya berpendapat jika nak tutup jalan masuk ini, tidak sesuai kerana ini jalan utama masuk ke TAKH. Jadi pihak berkuasa perlu fikirkan langkah terbaik, mungkin buat jejambat untuk kegunaan masyarakat,” katanya.

Penduduk, Zulehsan Ramli, 40, pula mahu pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas ke atas pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan, selain menambah tiang pembahagi jalan sehingga ke simpang masjid bagi mengelak pengguna jalan melakukan pusingan U haram.

“Selain isu ini, ada pekerja kilang warga asing yang kerap melintas jalan beramai-ramai yang mengundang risiko.

“Jadi wajar juga dibina jejantas untuk kemudahan bersama serta demi keselamatan,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top