KUANTAN – Beberapa jalan di negeri ini akan dilencong dan ditutup bagi Karnival Rakyat Pahang sempena Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, karnival tersebut bermula hari ini sehingga 4 Februari di Dataran Sayangi Kuantan dan Padang Kemunting Daerah Kuantan.
”Dijangka lebih 30,000 rakyat Pahang dari seluruh daerah akan hadir bagi memeriahkan Karnival Rakyat Pahang ini.
“PDRM selaku Jawatankuasa keselamatan dan lalulintas telah membuat persiapan dan perancangan sewajarnya bagi memastikan semua acara yang dirancang dapat berlangsung dengan lancar serta memastikan aspek keselamatan khususnya orang ramai yang hadir adalah menjadi keutamaan.
”Seramai 452 Pegawai dan Anggota Polis IPD Kuantan telah di aturgerak sepanjang berlangsung Karnival Rakyat Pahang.
”Bagi tujuan persiapan tempat, raptai dan sambutan Karnival Rakyat Pahang, beberapa jalan utama sekitar tapak sambutan akan di tutup dan di lencongkan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jalan yang terlibat penutupan penuh adalah Jalan Tanah Putih di kedua-dua hala yang terletak di hadapan bangunan Telekom.
Manakala Jalan Tanah Putih dari lampu isyarat LHDN ke persimpangan Jalan Mat Kilau 2 dan Jalan Tanah Putih dari lampu isyarat Esplanade ke Jalan Kemunting ke arah Gambang akan ditutup secara berkala bermula hari ini.
Jalan Tanjung Lumpur dari Serambi Teruntum, Jalan Teluk Sisek ke Jalan Besar dan Jalan Tanah Putih hingga lampu isyarat LHDN akan ditutup untuk acara perarakan kereta berhias.
Kenderaan dari Teluk Cempedak dan Jalan Beserah akan dialihkan ke Jalan Gambut 2 dan 3 masing-masing, sementara kenderaan dari arah Gambang akan diarahkan melalui Jalan Dato Wong AH Jang.
”Orang ramai yang hadir ke Karnival Rakyat Pahang diingatkan memberi kerjasama serta mematuhi arahan-arahan petugas keselamatan dan lalulintas yang bertugas.
”Orang awam dan pengguna jalan raya disaran untuk merancang perjalanan sepanjang tempoh karnival ini dengan merujuk perancangan lalulintas yang telah disediakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette




