am@hmetro.com.my
Sandakan: Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa jalan utama dan taman perumahan di sini dinaiki air.
Antara jalan utama yang dinaiki air ialah Jalan Batu 7, Jalan Mahkamah, Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan berhampiran stesen minyak Petronas Batu 6 serta jalan berhampiran Jabatan Perhutanan Sabah.
Selain itu, penduduk di Taman Nuri dan Taman Fajar Lama juga terjejas selepas kawasan perumahan itu dinaiki air.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melaksanakan pemantauan dan tindakan segera di beberapa lokasi susulan laporan kenaikan air yang bermula kira-kira jam 4 pagi tadi.
Katanya, dua kawasan iaitu Kampung Pangeran dan Taman Fajar yang dilanda banjir kini dalam pemantauan dan tindakan lanjut.
“Di Kampung Pangeran, kita membantu tujuh mangsa yang berdepan kesukaran untuk keluar selepas rumah mereka dinaiki air.
“Kita bersiap sedia untuk melaksanakan pemindahan sekiranya ada rumah terjejas sekali gus memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.
Sulaiman berkata, hujan lebat berterusan juga menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang.
Katanya, antara kawasan terbabit adalah di Sekolah Kebangsaan ST Monica, pusat bandar Sandakan, Taman Mutiara dan GIATMARA Batu Sapi.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian buruk berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd




