am@hmetro.com.my
Bachok: Mempunyai pelbagai komplikasi kesihatan tidak menghalang seorang datuk yang mempunyai 35 cucu menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 81 tahun dalam Istiadat konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.
Lebih manis, Dr Abdul Ghani Muhamad berjaya menghabiskan pengajian dalam bidang Tasawuf dan Tarekat tepat masa selama empat tahun.
Abdul Ghani berkata, cabaran utama untuk menghabiskan pengajiannya adalah faktor kesihatan diri yang mempunyai pelbagai penyakit seperti darah tinggi, prostat dan saraf.
“Saya juga menjalani dua kali pembedahan mata sepanjang pengajian selain berdepan faktor usia lanjut seperti ingatan merosot.
“Saya juga perlu menguasai teknologi digital hari ini, kena belajar komputer namun anak dan cucu menjadi motivasi untuk saya habiskan pengajian,” katanya ketika ditemui di Majlis Istiadat Konvokesyen UMK ke-16 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Bachok, di sini, hari ini.
Abdul Ghani berkata, objektifnya mengambil PhD adalah bagi memenuhi impian masa mudanya yang mahu menjejak kaki ke menara gading dengan pengajian paling tinggi.
Disebabkan faktor kewangan dan berkeluarga, dia terpaksa menangguhkan hasratnya sehingga berpeluang melanjutkan pengajian selepas sembilan anak sudah besar dan berkeluarga selain sudah bersara sebagai guru agama.
Malah, suami kepada Che Norma Che Ismail, 79, yang tinggal di Bukit Marak ini bersemangat mahu meneruskan pengajian PhD sekali lagi dalam bidang agama di Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan di UMK.
Dia antara 4,035 graduan UMK yang diraikan pada konvokesyen kali ini membabitkan lapan sidang bermula hari ini sehingga Khamis.
Dalam konvokesyen itu, Abdul Ghani yang juga graduan PhD tertua UMK diraikan lebih 20 anak, menantu dan cucu yang hadir ke majlis konvokesyen di UMK Bachok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




