Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengaku gagal menahan sebak apabila anak sulungnya, Ayden Adrean berjaya menamatkan acara renang 400 meter dalam kejohanan Langkawi Swim Fest yang berlangsung di Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Kata Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, dia meluahkan rasa bangga dan terharu kerana tidak menyangka Ayden mampu menyelesaikan cabaran itu meskipun hanya menjalani latihan dalam tempoh seminggu sahaja.
“Anak lelaki saya menyertai pertandingan renang 400 meter dengan hanya seminggu latihan.
“Saya sangat gementar sampai tak mampu bersuara.
“Saya sendiri tak pasti sama ada dia mampu lakukannya, tapi akhirnya dia berjaya.
“Dia berenang dengan sepenuh hati dan berjaya sampai ke garisan penamat,” katanya.
Perkara itu dikongsi Bella menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Bella pada mulanya mengakui rasa bimbang menyelubungi dirinya memandangkan dia sendiri mempunyai trauma terhadap aktiviti air.
Namun, kejayaan Ayden telah membuktikan keberanian dan semangat juangnya yang tinggi.
“Sebagai seseorang yang tak tahu berenang kerana trauma, melihat anak saya berenang di laut membuatkan saya rasa jantung macam nak tercabut kerana terlalu risau.
“Tapi Ayden sangat berani, kuat dan bersungguh-sungguh hingga berjaya menamatkannya.
“Saya menangis, kami sekeluarga menangis… sebab dia berjaya lakukannya. Anak saya memang kuat,” tambahnya.
Manakala, dalam hantaran berlainan pula, jurulatih Ayden yang dikenali sebagai Aimiwasaki turut berkongsi momen ketika Ayden menjalani latihan.
Sekadar info, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016.
Bagaimanapun, pasangan ini mengambil keputusan untuk bercerai pada 13 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu, Ayden Adrean, 8 tahun, dan Ara Adreanna, 5 tahun.