Usahawan dan pempengaruh ternama, Datin Vivy Yusof, baru-baru ini secara terbuka mengakui dirinya menghidap penyakit autoimun lupus atau Systemic Lupus Erythematosus (SLE), yang memerlukan rawatan berterusan sepanjang hayat.
Menerusi perkongsian di Instagram, Vivy kelihatan berkongsi beberapa foto miliknya ketika sedang menjalani rawatan susulan bagi penyakitnya itu.
Katanya, meskipun reda dengan ujian tersebut namun, dia cuba untuk mengelak daripada mengambil ubat-ubatan yang mengandungi steroid.
“Lupus bermaksud serigala, yang menunjukkan betapa menakutkannya penyakit ini.
“Ia mengoyakkan tubuh dari dalam tanpa disedari. Simptomnya sering disangka sebagai keletihan biasa, ruam atau sakit sendi.
“Saya bersyukur akhirnya dapat diagnosis, jadi saya tahu bagaimana untuk rawatnya. Tapi saya masih terus mencari rawatan jangka panjang yang bukan berasaskan steroid,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menyangka tekanan adalah punca utama dia menghidap penyakit ini.
“Stres adalah musuh paling besar. Saya sangka saya dapat kawal stres dengan baik sebagai seorang usahawan, kerana saya jarang sakit dan sentiasa bersikap optimis.
“Tapi saya tak tahu badan saya sebenarnya give up dari dalam.
“Saya diberitahu ini penyakit sepanjang hayat, dan saya dah reda dengan hakikat tersebut,” kongsinya.
Perkara itu dikongsi Vivy menerusi hantaran di Instagram miliknya baru-baru ini.




