Jalur Gemilang digantung terbalik: Video lama dikongsi semula – Polis

Jalur Gemilang digantung terbalik: Video lama dikongsi semula – Polis

rnoraina@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Polis menerima laporan berhubung penularan video yang menunjukkan Jalur Gemilang digantung terbalik di sebuah premis perniagaan di Bandar Pinggiran Subang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan dibuat seorang lelaki berusia 40-an yang juga pengurus projek syarikat kira-kira 4.30 petang.

Menurutnya, pengadu menafikan mengenai video yang tular di media sosial dan komen yang dilemparkan terhadap syarikat mengenai bendera Malaysia digantung terbalik di premisnya.

“Siasatan polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk beberapa hari mendapati bendera tidak dipasang terbalik seperti tular di media sosial.

“Siasatan juga mendapati syarikat tidak beroperasi sejak dua hari lalu.

“Maklumat pekerja memaklumkan kejadian berlaku pada 2024 iaitu ketika pemasangan bendera yang baru dibeli secara terbalik dan seterusnya kesilapan itu diperbetulkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata, pemeriksaan mendapati video lama berkenaan dikongsi semula oleh pemilik sebuah akaun di laman sosial TikTok.

Katanya, semakan setakat 7 malam ini mendapati pautan itu mempunyai lebih 5,000 komen dan lebih 2,000 perkongsian di media sosial.

Beliau berkata, polis menasihati orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan tanggungjawab dan berhemah serta tidak memuat naik sebarang kandungan berbaur fitnah.

“Isu bendera Malaysia dipasang terbalik adalah serius kerana membabitkan simbol kedaulatan negara. Kesilapan ini boleh dianggap sebagai tindakan tidak hormat terhadap negara sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak.

“Isu ini juga boleh menimbulkan kemarahan serta rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top