Jalur lebar 'berdesup'

Jalur lebar 'berdesup'

saufi@mediaprima.com.my

RANTAU Asia Tenggara tidak terkecuali dalam perkembangan teknologi semasa khususnya kemajuan ketersambungan internet yang berbeza-beza mengikut negara tertentu.

Kelajuan internet berbeza dengan ketara mengikut negara dengan beberapa negara menonjol untuk sambungan berkelajuan tinggi.

Singapura mendahului dengan kelajuan jalur lebar yang luar biasa dengan purata sekitar 199 Mbps, sekali gus antara yang terpantas di seluruh dunia.

Thailand juga menunjukkan prestasi yang baik iaitu purata kelajuan jalur lebar kira-kira 77 Mbps, meletakkannya dalam kedudukan kompetitif di peringkat serantau manakala Malaysia berada pada kedudukan rapat dengan kelajuan purata sekitar 67 Mbps untuk jalur lebar tetap.

Negara lain di rantau ini menunjukkan lebih banyak variasi ketersambungan internet terutama untuk internet mudah alih.

Contohnya, Singapura juga mempunyai kelajuan internet mudah alih terpantas di rantau ini kira-kira 54 Mbps, diikuti Laos dan Myanmar dengan purata masing-masing sekitar 29 Mbps dan 23 Mbps.

Jurang ini sering mencerminkan perbezaan dalam pelaburan infrastruktur, dasar kerajaan dan cabaran tempatan seperti geografi dan kebolehcapaian luar bandar.

Negara seperti Filipina dan Indonesia walaupun bertambah baik, masih mengalami kelajuan purata yang lebih perlahan berbanding pemimpin serantau.

Apabila pelaburan telekomunikasi berkembang di seluruh rantau Asean, kelajuan dan rangkaian dijangka meningkat, secara beransur-ansur mengecilkan jurang digital merentas negara anggota.

Pada masa sama, kadar internet untuk negara rantau Asia Tenggara juga adalah pelbagai mengikut perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.

Berdasarkan maklumat kajian daripada sebuah firma kajian antarabangsa mendedahkan bahawa kos internet terendah di rantau ini adalah Myanmar dengan kadar RM3.77 untuk setiap penggunaan dalam bentuk GB.

Kos internet di Myanmar antara yang terendah jika dibandingkan di seluruh dunia dan diikuti Malaysia iaitu RM5.12 bagi setiap GB manakala Indonesia sekitar RM5.25.

Singapura pula menawarkan pakej internet paling mahal untuk rantau ini iaitu sekitar RM15.92 setiap GB yang digunakan bagi data mudah alih.

Brunei juga merekodkan antara negara yang turut menawarkan pakej internet tinggi dan ia berkemungkinan oleh saiz pasaran negara berkenaan yang terhad dan kurang persaingan antara penyedia kemudahan telekomunikasi.

Ketersambungan internet pada ketika ini sebenarnya sangat penting khususnya dalam komunikasi digital dan segalanya memerlukan sambungan berkenaan.

Bermula daripada akses laman sosial sehingga kepada urusan harian seperti tugasan rutin di pejabat turut menggunakan jaringan internet.

Ia sekali gus memperlihatkan jika sesebuah negara mempunyai ketersambungan internet yang menyeluruh, ia mampu untuk membuka lebih banyak ruang adaptasi digital, sekali gus menjadi hab digital sesebuah rantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top