Jam estetik gaya maskulin

Jam estetik gaya maskulin

asmaini@mediaprima.com.my

ICE-WATCH Malaysia melancarkan koleksi baharu, ‘Bewatch Chrono’ yang direka khas untuk lelaki.

Meskipun selama ini dikenali dengan imej berwarna-warni dan berorientasikan fesyen, koleksi baharu itu tampil sofistikated dan kontemporari dengan estetika gaya lebih maskulin.

Menurut Pemilik ICE-WATCH Malaysia dan Time Zone Sdn Bhd, Datuk Seri Meer Habib, koleksi-koleksi sebelum ini khusus untuk golongan wanita dan kali ini, pihaknya menampilkan pilihan rekaan jam menarik untuk jejaka pula.

“Koleksi jam tangan lelaki ini menyerlahkan rekaan versatil, interpretasi halus terhadap jam tangan kronograf klasik serta rekaan estetik yang diminati ramai.

“Ia turut mengetengahkan warna menarik yang boleh digayakan untuk acara kasual atau majlis rasmi,” katanya pada majlis pelancaran di ibu negara, baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan penampilan istimewa pengasas ICE-WATCH, Jean-Pierre Lutgen bersama isterinya serta pasukan Asia Pasifik dari Hong Kong.

Dalam pada itu, Pierre Lutgen berkata, selama bertahun-tahun, jenama itu lebih sinonim dengan jam tangan wanita, dan pihaknya melihat peluang jelas untuk kembali mendekati pasaran lelaki dengan pendekatan yang lebih fokus dan bermakna.

Dengan ‘Bewatch’ (singkatan kepada ‘Belgium Watch), ia bukan sahaja menonjolkan identiti negara berkenaan tetapi juga memperkenalkan rangkaian jam kronograf yang bergaya dan mampu milik.

Katanya, jam tangan itu menggabungkan reka bentuk kontemporari, pergerakan Jepun yang boleh dipercayai, serta harga yang menarik, sekali gus menawarkan nilai hebat dan menarik minat lebih ramai pengguna lelaki.

“Reka bentuk inovatif koleksi terbaharu ini mencerminkan evolusi jelas jenama inj dalam hala tuju apabila berkembang ke segmen pasaran yang lebih matang dan versatil.

“Pada masa sama, koleksi ini tetap kekal setia kepada DNA teras jenama iaitu kreativiti, keselesaan dan kemampuan milik.

“Dengan menggabungkan reka bentuk yang kemas, fungsi yang boleh dipercayai dan harga menarik, Bewatch melambangkan langkah kami ke arah menghasilkan jam tangan yang lebih premium tanpa mengorbankan identiti ceria dan mesra jenama ini,” katanya.

Sementara itu, koleksi terbabit menawarkan enam warna menarik untuk dipadankan dengan pilihan gaya masing-masing.

ICE-WATCH di Malaysia dipasarkan secara eksklusif oleh Time Zone Sdn Bhd, cawangan jam tangan Kumpulan Habib yang memiliki 11 cawangan di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top