norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, 65, tidak menduga ‘pengaruh’ watak Zack yang pernah dibawanya dalam filem Azura pada 1984 lalu hingga kini masih diingati ramai.
Jamal berkata, meskipun sudah 40 tahun berlalu, namun masih ada yang memanggilnya Zack serta menjerit menyebut nama Azura dan itu adalah suatu kenangan terindah bagi dirinya.
“Masa dulu, kalau Zack keluar rumah mesti ada orang jerit panggil Zack atau Azura. Sampai sekarang sebenarnya hingga saya pun pelik sebab masih ada orang sebut-sebut lagi. Dah 40 pun, filem Azura itu berlalu.
“Fenomena Zack dan Azura ini memang tak pernah hilang sampai sekarang. Saya bersyukur dengan kurniaan daripada Allah ini yang membuatkan orang tetap suka dan masih mahu bergambar bersama saya.
“Masih diingat lagi, dulu saya pernah mendapat berguni-guni surat daripada peminat. Setiap kali pergi ke syarikat rakaman Warner Music, mesti saya akan bawa balik berguni surat peminat.
“Tapi, dalam banyak-banyak itu ada satu surat peminat saya yang sakit leukemia dan dia mahu berjumpa. Kebetulan dia (peminat itu) tinggal di Ipoh dan saya pun mengajak arwah ayah menemani saya ke rumahnya.
“Dia seorang peminat wanita dan memang sakit pun. Saya gembira dapat menunaikan hasratnya untuk berjumpa, ambil gambar dan menandatangani autograf. Selepas itu, saya tak tahu keadaannya lagi,” katanya ditemui baru-baru ini.
Menurut Jamal, kedekatan antara penyanyi dengan peminat pada masa dulu dan sekarang tidak sama. Tetapi, ia sangat bermakna kerana masing-masing saling menghormati dan menghargainya.
“Apapun, saya gembira sampai sekarang keadaannya tetap sama (diterima baik peminat) dan masih ramai orang yang nak bergambar dengan saya. Hinggakan, paling saya risau bila dalam persediaan nak menyanyi, ada yang ingin ambil gambar lagi.
“Jadi, saya selalu minta kepada ‘team’ saya agar berjaga-jaga sebab tak mahu diganggu kerana sebelum persembahan mestilah nak bersedia dulu macam hafal lirik lagu, tenangkan diri dan sebagainya,” kata Jamal ketika ditemui pada sidang media Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura anjuran bersama Live Injection dan NJ Resources di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari depan.
Bakal menampilkan persembahan yang menggamit kenangan terindah pada era 1980-an, Jamal berharap dapat menghiburkan peminat-peminatnya yang membeli tiket dengan rangkaian lagu popular di era Zack dan Azura.
Dalam Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura itu, Jamal akan menyanyi lagu Sandarkan Pada Kenangan bersama Wany Hasrita sebagai bintang undangan.
Harga tiket konsert menyaksikan konsert itu antara RM340 hingga RM395 termasuk VIP Box berharga RM7,500 yang disediakan bagi lapan orang dan dibeli secara atas talian (online).
© New Straits Times Press (M) Bhd