Jamal yakin Harimau Malaya mampu baham Vietnam

Jamal yakin Harimau Malaya mampu baham Vietnam

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Peminat bola sepak tanah air perlu turun beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya yang berdepan Vietnam pada saingan Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, kehadiran penyokong setia dapat menambahkan lagi semangat barisan pemain yang beraksi dengan membawa misi mencatat kemenangan di gelanggang sendiri.

Menurutnya, walaupun rekod sembilan pertemuan skuad Harimau Malaya dengan Vietnam berpihak pada pasukan lawan itu, namun dengan barisan pemain yang ada hari ini tidak mustahil kejayaan berpihak pada pasukan negara bimbingan, Peter Cklamovksi.

Katanya, dengan imej baharu pasukan Harimau Malaya tidak mustahil kejayaan yang diidamkan menjadi kenyataan seterusnya dapat memadam rekod buruk pertemuan sebelum ini yang berakhir dengan kekecewaan.

“Saya yakin dengan barisan pemain yang ada kejayaan mampu dicapai dihadapan peminat tempatan yang sudah lama ingin melihat pasukan negara menyerlah diperingkat Asean seterusnya Asia seperti yang pernah dimiliki suatu ketika dahulu.

“Untuk skuad Harimau Malaya mencatat kejayaan dipentas ASEAN (Asia Tenggara) kita tidak boleh mempertikaikan kehadiran pemain warisan dan naturalisasi kerana kelibat pemain tempatan masih dianggap tidak mencapai prestasi terbaik yang diperlukan.

“Saya yakin pasukan Harimau Malaya mampu menyerlah pada perlawanan bertemu Vietnam, esok. Ujian pertama pasukan negara yang berwajah baru mampu menjinakan lawan yang sebelum ini sukar ditewaskan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, untuk memastikan pasukan Harimau Malaya dapat melangkah lebih jauh seterusnya dihormati di rantau ASEAN seterusnya Asia, sudah tiba masanya melakukan perubahan drastik terutama membabitkan barisan pemain.

Jamal Nasir berkata, peluang barisan pemain tempatan sudah diberikan sebelum ini, namun mereka gagal meletakkan pasukan negara pada landasan sebenar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top