mdroji@bh.com.my
Kuching: Jambatan ikonik baharu di bandar raya ini secara rasmi dinamakan sebagai Jambatan Datuk Amar Juma’ani, sebagai penghormatan kepada isteri Premier Sarawak, Allahyarham Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang..
Nama itu dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki dan disokong Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Pengumuman rasmi kemudian dibuat oleh Tan Sri Abang Johari Abang Openg ketika merasmikan jambatan berkenaan dalam satu majlis penuh simbolik yang diadakan malam ini.
Allahyarham Puan Sri Juma’ani meninggal dunia pada jam 3.34 pagi, 23 Jun lalu di Pusat Perubatan Normah, Kuching, pada usia 76 tahun.
Beliau dikenang sebagai tokoh wanita yang aktif dalam kerja kebajikan dan pembangunan masyarakat Sarawak.
Jambatan yang dibina dengan kos RM50.6 juta yang membawa namanya itu adalah sebahagian daripada projek pembesaran Jalan Datuk Ajibah Abol dan jaringan jalan sekitar.
Ia mula dibina pada Disember 2019 dan mempunyai panjang kira-kira 108.5 meter, merentasi Sungai Bintangor, dengan reka bentuk empat lorong dua hala.
Bagaimanapun, pembinaannya mengalami kelewatan kritikal, dengan tempoh lanjutan lebih 800 hari diberikan bagi menyelesaikan isu berkaitan pengalihan utiliti dan penangguhan akibat pandemik Covid-19.
Dari sudut reka bentuk, jambatan itu menampilkan menara pusat dengan kabel gantung, menyerupai gaya jambatan ikonik di Rotterdam, Belanda.
Elemen pencahayaan LED turut dipasang untuk menambah daya tarikan pada waktu malam, menjadikannya lokasi baharu yang berpotensi menjadi tumpuan pelancongan malam di Kuching.
© New Straits Times Press (M) Bhd



