Jambatan runtuh, dua maut, lima cedera

Jambatan runtuh, dua maut, lima cedera

Rakaman video memaparkan kejadian jambatan runtuh di Cheonan, Korea Selatan.

– Advertisement –

SEOUL: Sekurang-kurangnya dua orang maut dan lima cedera hari ini apabila sebuah jambatan runtuh di tapak pembinaan lebuh raya di bandar Cheonan, selatan ibu negara Korea Selatan.

Mengikut pihak berkuasa bomba Korea Selatan, kemalangan itu berlaku pada jam 9:49 pagi waktu tempatan apabila lima struktur keluli sepanjang 50 meter yang menyokong jambatan lebuh raya itu runtuh satu demi satu selepas dinaikkan ke tempatnya oleh kren.

– Advertisement –

Media tempatan menyiarkan rakaman dramatik yang memaparkan bahagian jambatan itu runtuh, menghamburkan habuk tebal ke udara.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan tiga kematian dalam kejadian ini. Bagaimanapun, pihak berkuasa bomba negara itu memberitahu bahawa dua orang meninggal dunia setakat ini dan lima cedera, termasuk empat dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa juga sedang mencari tiga lagi individu yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan di tapak itu.

Siaran televisyen YTN menyiarkan rakaman dramatik yang menunjukkan dek jambatan yang melambung tinggi runtuh di tapak pembinaan.

Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok, mengeluarkan arahan segera bagi menggerakkan semua sumber dan anggota penyelamat dalam melancarkan operasi menyelamat.

Menurut data Kementerian Buruh Korea Selatan, lebih 8,000 kematian berkaitan pekerjaan direkodkan di negara itu antara tahun 2020 hingga 2023. – YONHAP

Scroll to Top