‘Jambatan Terapung’ – Denai Sungai Pengkalan Datu

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kota Bharu: Siapa sangka kawasan kampung yang sebelum ini hanya sibuk dengan aktiviti rutin harian penduduk kampung namun sejak tempat ini tular di media social, suasananya telah bertukar ‘360 darjah’. Kampung Pulau Tengah yang terletak di Kubang Kerian, sebelum ini kurang dikenali malahan oleh masyarakat tempatan sendiri, kini semakin meriah dengan kehadiran pengunjung yang teruja dengan ‘jambatan terapung’.
Dibina bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 (HASN) dan bertemakan ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’, jambatan tersebut dirasmikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man pada 24 Oktober 2020 yang lalu. Selari dengan nama rasminya, Denai Sungai Pengkalan Datu, ia adalah hasil salah satu projek rentis Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang dianjurkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Tujuan pembinaan jambatan ini adalah untuk Pelestarian Sungai melalui beberapa program yang telah dirancang oleh KASA iaitu Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK), Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal Dan Elektronik (e-waste), Kempen Hindari Plastik Sekali Guna dan Penghijauan Bumi dan Penanaman Pokok. Dianggarkan pembinaan denai sepanjang 10,000km akan terlaksana menjelang 2030 di seluruh negara bagi menggalakkan komuniti setempat dan pihak-pihak terlibat dalam memastikan sungai-sungai di Malaysia terpelihara daripada pencemaran.

Jambatan terapung yang panjangnya hampir satu kilometer ini sebenarnya tidaklah terapung seperti yang anda fikirkan, ia diperbuat daripada kayu serta disokong oleh nibong menampakkan ia seakan-akan terapung. Lokasinya terletak hanya 300meter dari Min House Camp dan 1.5kilometer dari Masjid Istana Negeri, Kubang Kerian.

Keindahan alam semulajadi di sekitar Kampung Pulau Tengah boleh dikategorikan sebagai tempat terapi jiwa terutama sekali kepada pencinta alam semula jadi. Sambil bersiar-siar di atas jambatan terapung, pengunjung dapat melihat hutannya yang penuh dengan kesegaran daun- daun hijau, arus air sungai yang tenang ditambah dengan kicauan merdu burung-burung yang hinggap di dedahan pokok dapat menjadi terapi jiwa para pengunjung. Bagi lebih menikmati keunikan tempat ini, para pengunjung diberi pelbagai pilihan aktiviti untuk dilakukan seperti menyusuri Sungai Pengkalan Datu dan melalui tiga buah perkampungan dengan menaiki bot, berkayak, menuai Nira Nipah, mengutip Lokan, menangkap Ketam Nipah, melihat sangkar Ikan Siakap dan Ikan Kerapu, melawat ladang Lebah Kelulut dan paling menarik adalah mengunjungi Taman Kelip-Kelip pada waktu malam.
Setelah penat beraktiviti, pengunjung boleh memilih restoran-restoran yang beroperasi di sepanjang Sungai Pengkalan Datu, antaranya Anjung Selera Min House Camp, Abg Mi Tepi Jambatan, Selera Pulau, Mbee Island dan Astakona Riverview Island. Setiap restoran memberi kelainan tersendiri contohnya, Restoran Astacona Riverview, memberi peluang kepada pengunjung untuk menjamu selera di atas pokok setinggi 10meter sambil menikmati keindahan sekeliling. Umpama kata pepatah, “perut kenyang, hati pun senang”. Mohd Zaini Mat Rawi,

49, pemilik Restoran Astacona Riverview berkata, selama pengoperasian restorannya sejak lima tahun lalu dimana sebelum ini pelanggan yang hadir tidak lebih dari 50 orang sehari, kini restorannya dikunjungi hampir 400 orang pelanggan sehari.

Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) ini umpama memberi nafas baru kepada penduduk kampung tersebut, kerana dengan adanya jambatan terapung tersebut sebagai tarikan pengunjung, penduduk tempatan dapat menjana pendapatan dan menjadikan kampung halaman sebagai lubuk rezeki mereka. Ini adalah kerana jumlah pengunjung mencecah 500 orang pada hari hujung minggu ulas Mohd Hishammudin Ghazali, 38, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti Penduduk Kampung Pulau Tengah. Ini sekaligus membuktikan usaha KASA dalam memelihara alam sekitar membuahkan hasil selain dapat mencapai matlamat industry pelancongan bagi menawarkan ekopelancongan, agropelancongan serta pelancongan desa serta membantu penduduk setempat menjana pendapatan.

 

Oleh Diyana Che

DA1079/Malay News

National Desk