firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Misi Selangor FC (SFC) untuk tampil padu dalam kempen sulung Liga Juara-Juara Asia ll (ACL ll) musim ini tampak pada landasan tepat selepas mengikat seorang lagi awang import bagi menguatkan jentera tengah pasukan itu.
Nikola Jambor, 28, diumumkan sebagai tonggak terbaharu SFC dan kelibatnya dijangka dapat dilihat apabila skuad Merah Kuning itu turun menentang kelab Filipina, Cebu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Kelana Jaya, Khamis ini.
Kehadiran Jambor pastinya mengukuhkan lagi bahagian tengah SFC khususnya dalam mengatur gerakan serta mematahkan gerakan lawan.
Menurut pengendali SFC, Nidzam Jamil, beliau melihat saingan tinggi akan hadir di bahagian tengah dengan kehadiran Jambor itu.
“Saya pasti Nikola (Jambor) akan memberikan saingan yang tinggi terutama di bahagian tengah pasukan.
“Saingan ini sedikit sebanyak mampu memberikan kesan positif kepada pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan ACL ll musim ini,” kata Nidzam.
Untuk rekod, Jambor yang berasal dari Croatia melakukan penampilan terbanyak bersama kelab Slaven Belupo Koprivnica dengan 66 perlawanan sepanjang dua musim dan meraih tempat kedua dalam Piala Croatia 2015-16.
Mesra dipanggil Niko, dia berkelana di beberapa negara sepanjang kariernya termasuk Belgium, Portugal dan Arab Saudi dengan pengalaman luas yang dimiliki dilihat mampu memberi suntikan berharga kepada SFC bagi saingan Liga M dan ACL ll.
Dia menjadi rekrut ketiga SFC ketika jendela perpindahan kedua Liga M selepas penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al Hafiz dan pemain Jordan, Mohammed Abualnadi sah menyertai pasukan itu.
Aksi menentang Cebu FC adalah perlawanan kedua dalam Kumpulan H ACL ll selepas SFC mengikat Muangthong United dari Thailand 1-1 pada aksi pertama yang berlangsung di Bangkok, 19 September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




