James Chai selesai beri keterangan kepada SPRM selepas lebih 8 jam

James Chai selesai beri keterangan kepada SPRM selepas lebih 8 jam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penganalisis politik, James Chai dilaporkan sudah dilepaskan selepas diambil keterangan selama lebih lapan jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Difahamkan, Chai yang juga bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dilepaskan pegawai penyiasat pada jam 6.30 petang tadi.

Beliau sebelum itu tiba di situ pada jam 9.59 pagi tadi untuk membantu siasatan berkaitan projek semikonduktor bernilai RM1.11 bilion yang disokong kerajaan.

Dia dilihat memakai baju berwarna putih dan berada di tempat penumpang sebuah kereta Proton Pesona berwarna putih sebelum dirakam masuk ke dalam pejabat SPRM.

Sejak awal Mac lalu, James yang kini menetap di London dicari oleh SPRM yang kemudiannya mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesannya.

Susulan itu, SPRM menerima surat daripada peguamnya bertarikh 9 Mac lalu yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

SPRM kemudiannya mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac, memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac lalu, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir.

Menurutnya, sehubungan itu, SPRM mengeluarkan surat pada hari ini yang menetapkan bahawa dia perlu hadir dalam tempoh dua minggu, dan SPRM juga bersedia untuk menanggung kos penerbangannya pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.

SPRM ketika itu turut akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk INTERPOL atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.

Berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan, setakat ini, seramai 17 saksi dirakam percakapan yang membabitkan pegawai daripada Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pada awal ketika beliau dicari SPRM, James sempat menempelak SPRM selepas didakwa memberi gambaran kononnya penganalisis politik itu sedang bersembunyi bagi mengelak daripada disiasat.

Chai berkata, naratif SPRM itu memberi gambaran seolah-olah bekas Pembantu Tugas-tugas Khas (Dasar) kepada bekas Menteri Ekonomi itu adalah pelarian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top