am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Wanita berstatus janda memberi alasan sekadar tolong masak dan menyapu sampah apabila dicekup penguat kuasa agama di sebuah pangsapuri di sini pada 1.50 pagi, hari ini.
Wanita berusia 40-an itu ditemui di dalam rumah berkenaan yang dihuni lelaki bujang warga tempatan berusia 30-an.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata, pihaknya melakukan serbuan ke atas kediaman itu susulan aduan awam yang mendakwa wanita yang mempunyai seorang anak itu kerap bertandang ke situ pada sebelah malam dan hanya keluar kira-kira 6 pagi keesokan hari.
“Ketika serbuan, kediaman dalam keadaan berkunci dan hanya dibuka oleh lelaki yang memakai baju T dan seluar panjang kira-kira lima minit selepas loceng ditekan beberapa kali.
“Selepas memperkenalkan diri, pemeriksaan dijalankan di dalam rumah tiga bilik itu sebelum menemukan wanita terbabit di ruang tamu dalam keadaan berpakaian baju T dan berseluar panjang.
“Hasil soal siasat, mereka mengaku bukan suami isteri mahupun adik beradik tiri. Rumah itu disewa oleh lelaki berkenaan yang bekerja di daerah ini dan tinggal sendirian,” menurut JAINJ dalam kenyataan hari ini.
Semakan mendapati wanita berkenaan menetap kira-kira 10 kilometer dari kediaman terbabit dan ke rumah itu selepas dijemput lelaki berkenaan dengan menaiki kereta.
“Mereka merayu supaya tidak ditahan dengan alasan tidak melakukan sebarang perbuatan maksiat, namun JAINJ menjelaskan tindakan berkurung bersama bukan mahram tetap menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.
“Apabila ditanya kenapa kerap datang, wanita ini mengatakan mahu menolong memasak dan menyapu sampah,” menurut JAINJ.
© New Straits Times Press (M) Bhd
