Janda rugi RM47,000 ditipu duda

Janda rugi RM47,000 ditipu duda

am@hmetro.com.my

Besut: Peniaga pakaian dalam talian mengalami kerugian RM 47,000 akibat terpedaya janji palsu seorang duda.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, mangsa berusia 34 tahun yang juga seorang janda membuat laporan berhubung kejadian pada 3 Jun lalu.

Katanya, mangsa dipercayai mengenali suspek berusia 27 tahun melalui aplikasi Omi pada 22 Januari lalu dan berkenalan hampir enam bulan.

“Suspek mendakwa bekerja di syarikat minyak dan gas di Terengganu serta mempunyai pendapatan tinggi.

“Akibat terpedaya janji manis, mangsa terjebak dengan membuat 43 kali transaksi pengeluaran duit kepada akaun suspek serta dua akaun individu lain,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di sini, hari ini.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai ejen pelancongan ditahan jam 1.30 petang semalam di rumahnya di Kuala Besut.

“Kita percaya ada lagi mangsa lain terbabit dan minta supaya mangsa tampil membuat laporan polis.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top