Kebelakangan ini, satu per satu, kisah artis tempatan yang pernah terlibat dalam program terbitan sebuah stesen tv menagih bayaran tertunggak mereka.
Difahamkan, program itu sudah lama tamat. Tujuh tahun berlalu. Namun bayaran tertunggak sampai sekarang masih belum dilunaskan oleh stesen tv berkenaan.
Hal itu diluahkan oleh pelawak, Amir Raja Lawak terlebih dahulu apabila dia akhirnya terpaksa membuka mulut mengenai isu yang telah lama dipendam. Keterpaksaan itu dilakukan kerana dia sudah tiada jalan lain.
Kemudian, selepas Amir, Cik Bunga nampak, pelakon, Azizul Ammar pun turut meluahkan hal sama, sebelum kemudiannya disusuli dengan Mamak Puteh.
Sebenarnya, mengenai isu tunggakan bayaran ini, sudah lama Cik Bunga nasihatkan kepada beberapa artis yang Cik Bunga tahu terbabit dengan stesen tv itu supaya segera lakukan tindakan mengikut undang-undang.
Tetapi kata mereka pada waktu itu, mereka mahu mengambil jalan minta secara baik dahulu, cuba memahami situasi kelewatan bayaran dengan harapan hasil titik peluh mereka itu akan dibayar walau macam mana pun oleh stesen tv berkenaan.
Cik Bunga dah dapat mengagak kejadian macam ini akan berlaku jua. Sebab, pattern. Sebelum ini, bukan tak ada pengkarya seni atau orang industri yang terkena hak serupa dengan stesen tv itu. Ramai yang sudah ‘bising’ dan meluahkan perkara serupa.
Itu sepatutnya jadi petanda ‘red flag’ ketara.
Tetapi tetaplah artis-artis program terbabit hendak beri muka lagi dengan pihak tersebut dan sekarang masing-masing akhirnya menyuarakan hak.
Cik Bunga harap, semua artis yang terlibat kena berani munculkan diri dan cakap pasal isu ini.
Sikit atau banyak duit yang masih stesen tv itu belum bayar kepada anda, ia tetap hak anda.
Bagi Cik Bunga, stesen tv itu pun harus bertanggungjawab dengan apa yang terjadi. Artis-artis yang suarakan hal ini pun hanya mahukan hak mereka sahaja.
Lunaskan bayaran untuk kesemua mereka dan jangan aniaya orang.