Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mengulangi pendirian tegas kerajaan untuk menolak sebarang usaha menormalisasi apa yang disifatkan sebagai “budaya songsang”, merujuk kepada LGBTQ+.
Beliau menegaskan pendirian itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, sambil menjawab kritikan terhadap kenyataan terdahulunya yang menyebut tekanan di tempat kerja boleh menjadi antara faktor seseorang dikategorikan sebagai LGBTQ+, selain tahap pemahaman agama yang rendah.
“Saya ingin tegaskan di sini, kita menolak dan tidak berkompromi sebarang usaha menormalisasi budaya songsang. Titik dan noktah,” katanya.

Menteri Agama tegas tolak
Dalam masa sama, beliau menggesa pihak yang mengkritik kenyataannya supaya menilai isu berkenaan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada tajuk laporan semata-mata.
Zulkifli Hasan turut memetik ayat al-Quran yang menekankan keperluan mengesahkan sesuatu maklumat sebelum disebarkan, sambil mengingatkan bahawa kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada penyebaran fitnah terhadap individu atau pihak tertentu.
Ketika sesi perbahasan berlangsung, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan (Pakatan Harapan), bangkit mencelah dengan menamakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail (Perikatan Nasional), sebagai individu yang didakwa menyebarkan fitnah terhadap kerajaan.
Menurut Sany, tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penganjuran acara “Glamping With Pride” adalah tidak berasas, memandangkan acara tersebut akhirnya dibatalkan susulan bantahan orang ramai.

“Dia (Zulkifli Ismail) sebut kerajaan yang ada hari ini tidak ambil sebarang tindakan aktiviti ‘glamping’ (with pride) tu. LGBT tu! Ini satu fitnah yang dilemparkan pada kerajaan hari ini.
“Sepatutnya menteri agama ambil tindakan sewajarnya di atas kenyataan ahli parlimen Jasin,” katanya.
Menjawab isu berkenaan, Zulkifli Hasan sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya melihat perkara tersebut secara menyeluruh.
Namun, satu lagi celahan berlaku apabila Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Perikatan Nasional), meminta Sany supaya bertenang.
“Saya nak pesan pada Hulu Langat, cakap elok-elok jangan terjerit-jerit, bertenang,” katanya.

Artikel lain: Tekanan kerja mungkin antara faktor individu terjebak gaya hidup songsang – Menteri Agama
Bagaimanapun, Sany mempertahankan tindakannya dengan menegaskan beliau berhak bersuara selagi tidak ditegur oleh Speaker.
“Dalam dewan ni nak menjerit boleh, nak memekak boleh, tapi jangan buat fitnah. Saya setakat hari ni duduk sini tak pernah buat fitnah, tapi belah sana…” katanya.
Situasi itu kemudiannya dikawal apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, yang mempengerusikan sesi berkenaan, menggesa Sany untuk duduk, meskipun suaranya masih kedengaran selepas mikrofon dimatikan.
Sumber: Malaysiakini




