Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memilih penasihat yang berani menegur kesilapan, bukannya individu yang hanya mengampu demi kepentingan sendiri.
Penasihat perlu ingatkan pemimpin yang buat silap
Memetik laporan daripada Berita FMT, Hadi ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat menyatakan penasihat yang baik perlu mengingatkan pemimpin apabila melakukan kesilapan serta memberikan sokongan apabila pemimpin mahu melaksanakan perkara yang betul.
“Kalau pemimpin itu lupa diperingatkan, kalau dia (penasihat) ingat, dia diberi pertolongan (kepada perdana menteri),” katanya.
Foto: FB Hadi Awang
Jangan bergantung kepada pengampu
Beliau turut memberi amaran bahawa sikap terlalu bergantung kepada penasihat yang hanya mengiyakan tindakan pemimpin boleh membawa kesan buruk kepada negara.
“Jangan bergantung pada pengampu-pengampu. Ini boleh merosakkan negara,” katanya.
Dalam perbahasan sama, Ahli Parlimen Marang itu turut mempersoalkan peningkatan defisit, hutang negara dan cukai, sambil menegaskan keberkesanan belanjawan seharusnya dinilai berdasarkan manfaat yang diterima rakyat, bukannya keuntungan kerajaan, syarikat korporat atau kroni.
Beliau juga membangkitkan isu hutang negara, khususnya pembiayaan yang melibatkan amalan riba, yang menurutnya perlu diberikan perhatian serius.
“Selagi riba ini menjadi penyakit, selama itulah penyakit hutang tak dapat diubati,” katanya.
Foto: FB Hadi Awang
Selain itu, Hadi menyentuh kenaikan harga barang keperluan serta kegiatan kartel dan orang tengah yang didakwanya terus membebankan rakyat sekiranya tidak ditangani dengan berkesan.
Dalam aspek pendidikan pula, beliau mendakwa sistem pendidikan negara terlalu menumpukan pencapaian akademik sehingga aspek pembentukan akhlak, kerohanian dan nilai kemanusiaan kurang diberikan perhatian.
Menurutnya, kelemahan dalam penerapan nilai tersebut turut dikaitkan dengan masalah sosial seperti buli, keganasan dan pembunuhan yang perlu ditangani secara menyeluruh.
Sumber: Berita FMT (Anne Muhammad)




