'Jangan beri pelakon plus size hanya watak klise' – Norreen Iman

'Jangan beri pelakon plus size hanya watak klise' – Norreen Iman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Norreen Iman, 32, memaklumkan tidak mahu kehadiran individu memiliki fizikal besar seperti dirinya hanya diberi peluang membawakan karakter klise.

Norreen yang akan tampil dengan filem seram Supernatural bertajuk Mikael: Pemburu Dua Alam berkata, perubahan minda kini perlu dilakukan oleh penggiat seni dan peminat.

“Saya tak nak pelakon fizikal besar diterima hanya sekadar untuk melawak macam biasa, untuk memenuhkan ruang dalam cerita itu, menjadi best friend kepada watak heroin.

“Untuk filem ini, genrenya ala-ala Ghostbusters tapi versi Melayu kitalah. Asasnya komedi seram. Tapi apa yang penting dia tak ‘cringe’. Jadi memang banyak babitkan babak aksi.

“Doakanlah supaya orang terima cerita itu. Pemilihan daripada pengarah pun tidak semudah itu. Jadi bila kita sebahagian dari pelakon, saya rasa sudah buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis Pre Buffet Nikmat Iftar Ramadan di Restoran Tiffin 55, di sini, baru-baru ini.

Filem arahan Zahir Omar yang turut menampilkan Datuk Remy Ishak dan Fezrul Khan ini dijangka akan ditayangkan pada pertengahan tahun ini.

“Watak saya seorang yang ‘clumsy’ dan saya kena buat babak aksi. ​Saya pergi kelas ‘martial art’. Jangan terkejutlah dengan aksi saya dalam filem ini.

“Saya buat babak stunt-stunt kena tumbuk, pukul orang balik, terbalik melompat. Macam itulah saya buat semuanya. Saya buat sendiri. Maafkan saya, susah nak cari ‘double’ macam saya (ketawa).

“Tapi ‘i’m so proud of myself’ sebagai seseorang yang plus size boleh buat stunt. Kiranya berbulan juga saya ambil kelas dan praktis sebelum shooting,” katanya.

Katanya, saiz badannya ketika itu masih besar berbanding penampilan terkininya.

“Sekarang dah kecil sikit. Jadi bayangkan kalau saya kecil sikit macam mana saya boleh buat stunt. Untuk itu, setiap tahun saya letakkan sasaran nak buat apa tahun ini.

“Saya sudah dapat buat filem aksi. Tahun ini pun nak buat filem aksi lagi kalau boleh. Sebab dia macam udara segar buat saya. Menangis itu kita dah biasa buatkan.

“Tapi berkaitan dengan yang mencegah, mengejar orang ini… walaupun biasa saja, seronoklah,” katanya yang mahu menurunkan berat badannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top