Jangan beri tekanan kepada Sawda – Beasley

Jangan beri tekanan kepada Sawda – Beasley

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley melihat pelumba muda negara, Sawda Hasbullah mempunyai potensi yang cukup besar untuk terus mencipta kejayaan lebih besar selepas ini.

Namun begitu, beliau menegaskan perkara itu tidak boleh hadir dengan sekelip mata sebaliknya, kesabaran dan perancangan yang teliti perlu dilakukan agar pelumba berusia 17 tahun itu berada di landasan yang tepat.

Bagi Beasley, setiap pihak perlu bekerjasama dalam perkara ini dan jangan terburu-buru, termasuk memberi tekanan besar kepada Sawda kerana cemerlang di peringkat junior belum menjamin kejayaan apabila memasuki era senior.

“Kita mahu dia menyedari perkara ini. Kejayaan ini adalah satu permulaan untuk perjalanan kariernya. Kita belum tahu sejauh mana dia boleh pergi, tetapi apa yang penting, kita perlu fokus kepada pembangunan dirinya dan memberi peluang untuk melihat kemajuannya dari semasa ke semasa.

“Cemerlang di peringkat junior adalah satu perkara yang bagus, tetapi cabaran terbesar adalah memasuki peringkat senior kerana di situ akan ada persaingan dengan pelumba terbaik dunia.

“Saya sudah melihat ramai pelumba junior yang cemerlang tetapi tidak mencapai potensi sepenuhnya di peringkat senior. Semua ini memerlukan masa dan kesabaran. Kami akan bekerjasama dengan pakar psikologi serta menjaga kebajikannya dan terus menyokong perkembangan dirinya,” katanya.

Tambahnya, pengalaman sebelum ini memberi banyak pengajaran buat dirinya dalam mengatur langkah serta melakukan perancangan yang lebih teliti agar Sawda mampu menjadi pelumba terbaik Malaysia pada masa akan datang.

Terdahulu, pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025 hujung bulan lalu, pelumba trek kelahiran Melaka itu mencuri tumpuan apabila berjaya meraih dua emas dan satu perak, termasuk melakukan rekod dunia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa kategori junior dengan catatan 1 minit 10.818 saat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top