Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua parti yang menjadi rakan dalam kerajaan agar tidak mengamalkan politik bermuka dua, khususnya dengan menunjukkan persetujuan untuk bekerjasama tetapi pada masa sama mengambil langkah untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

Menurutnya, setiap persefahaman yang telah dicapai perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh kejujuran, bukannya sekadar persetujuan yang dilafazkan ketika berhadapan atau dalam mesyuarat, sebelum mengambil pendirian berbeza selepas perbincangan berakhir.
“Jangan ada khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang, tetapi menjatuhkan rakan pada waktu malam.
“Jangan ada perjanjian ditandatangani, dalam masa sama ia dimungkiri. Kerajaan Perpaduan yang disepakati itu ada dalam perjanjian, entah bagaimana Kerajaan Perpaduan Nasional ditukar menjadi Kerajaan Madani.
“Jika kerbau diikat pada talinya, manusia mesti diikat dengan janjinya. Dalam mesyuarat setuju, keluar mesyuarat buat lain.
“Janganlah menanam tebu di hujung bibir. Insya-Allah, UMNO, BN dan rakan baharu kita berazam untuk tidak melakukan perkara seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan UMNO 2026 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa usaha membentuk titik persamaan antara parti tidak bermaksud mana-mana pihak perlu mengetepikan atau mengorbankan identiti politik masing-masing.

“Dengan siapa pun kita bekerjasama, UMNO tetap UMNO, Barisan Nasional tetap Barisan Nasional,” ujarnya.
Menurut Ahmad Zahid, konsep persefahaman politik atau tafahum siyasi perlu dibina berdasarkan tiga prinsip utama. Antaranya ialah mengutamakan persamaan demi maslahat umum, menghormati perbezaan dari sudut ideologi serta identiti setiap parti, selain mengamalkan toleransi dan sikap anjal ketika membuat sesuatu keputusan.
Artikel lain: Pengampunan Najib ditangguhkan, Zahid akui UMNO bersedih dengan keputusan
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama politik tidak wajar diwujudkan semata-mata atas dasar berkongsi musuh yang sama.
Sebaliknya, persefahaman yang dibentuk perlu mempunyai matlamat lebih besar, termasuk memastikan kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi, menjamin keadilan serta memperkukuh perpaduan rakyat dan hubungan antara wilayah.
