Jangan buat spekulasi! Saya & keluarga baik saja, tiada konflik antara kami – Maria Danisha

Jangan buat spekulasi! Saya & keluarga baik saja, tiada konflik antara kami – Maria Danisha

Anak ketiga kepada pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim, Maria Danisha Hakim, menegaskan perkongsian berbaur luahan hati dalam akaun TikToknya baru-baru ini tidak ada kaitan dengan isu keluarganya.

Menurut Danisha, 18, dia memohon orang ramai tidak membuat sebarang dakwaan negatif berkaitan hantaran tersebut.

“Saya ingin membuat klarifikasi mengenai hantaran yang dimuat naik dalam TikTok. Perkongsian tersebut tidak menyebut mana-mana pihak terutama ahli keluarga saya.
“Jadi, saya minta jasa baik orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya,” katanya melalui platform Threads.

Dalam masa sama, Danisha menegaskan hubungan dengan seluruh keluarganya kini berada dalam keadaan baik.

“Saya dan keluarga baik-baik sahaja dan tiada konflik antara kami. Saya juga menghargai semua rasa sayang dan sokongan menerusi komen serta mesej peribadi yang kalian kirimkan, terima kasih,” jelasnya.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas Danisha mencuri perhatian ramai apabila berkongsi luahan hati di TikTok, memberi bayangan dirinya sering diabaikan sebelum ini.

Dalam hantaran itu, dia menyatakan kebimbangan menjadi beban serta usaha untuk kewujudannya disedari orang lain.

Artikel lain: “Tunggu orang nampak usaha tapi perhatian ke tempat lain…” – Luah anak ketiga Abby Abadi, Norman Hakim

Segelintir netizen mengaitkan hantaran itu dengan isu melibatkan Marissa Dania Hakim, yang kini menjadi tumpuan media sosial selepas prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk dua kali membabitkan beliau dan suaminya, Mohd. Aslam.

Perkara itu turut mengundang respons negatif netizen termasuk komen daripada Abby.

Sumber: Threads m_danishaa

Scroll to Top