Jangan buka aib pasangan di media sosial

Media sosial pada hari ini bukan lagi sekadar ruang untuk berkongsi berita dan berhubung dengan keluarga serta sahabat. Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia. Apa sahaja yang berlaku boleh dirakam, ditulis dan disebarkan kepada ribuan malah jutaan manusia hanya dalam beberapa saat.

Malangnya, kemudahan ini turut mendatangkan satu fenomena yang membimbangkan apabila masalah rumah tangga yang sepatutnya diselesaikan dengan hikmah akhirnya dibicarakan secara terbuka di media sosial.

Suami menceritakan keburukan isteri. Isteri pula mendedahkan kelemahan suami. Tangkap layar perbualan peribadi disebarkan. Rakaman suara dimainkan kepada khalayak. Ahli keluarga turut masuk campur. Rakan-rakan memberikan kenyataan. Kemudian masyarakat yang tidak mengetahui keseluruhan cerita pula mengambil bahagian dengan membuat andaian, menghukum, mencaci dan menyebarkan cerita tersebut.

Akhirnya, masalah yang pada asalnya hanya melibatkan dua orang berubah menjadi konflik disaksikan ribuan manusia.

Lebih membimbangkan apabila ada pihak yang menjadi pengadu domba, membawa cerita daripada satu pihak kepada pihak lain, memetik kenyataan di luar konteks atau sengaja menambahkan cerita sehingga hubungan yang masih mempunyai ruang untuk diselamatkan akhirnya menjadi semakin buruk.

Islam memandang serius perkara ini kerana rumah tangga bukan sekadar hubungan sosial, tetapi sebuah ikatan yang disebut oleh al-Quran sebagai ‘perjanjian yang kukuh.’

Islam mengutamakan perdamaian

Apabila berlaku perselisihan dalam rumah tangga, Islam tidak mengajar pasangan supaya berlumba-lumba mendedahkan keburukan masing-masing. Sebaliknya, Islam membuka ruang seluas-luasnya untuk perdamaian. Allah SWT berfirman: “Dan perdamaian itu lebih baik.” (Surah al-Nisa’: 128)

Bahkan apabila konflik antara suami dan isteri semakin serius, Allah SWT mengajar supaya dilantik orang tengah daripada kedua-dua keluarga.

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu bimbang berlaku persengketaan antara kedua-duanya, maka lantiklah seorang pendamai daripada keluarga lelaki dan seorang pendamai daripada keluarga perempuan. Jika kedua-duanya menghendaki perdamaian, nescaya Allah memberikan taufik kepada mereka.” (Surah al-Nisa’: 35)

Perhatikan pendekatan al-Quran. Ketika rumah tangga menghadapi krisis, Allah tidak memerintahkan supaya masalah tersebut diuar-uarkan kepada masyarakat. Sebaliknya, ia dibawa kepada individu tertentu yang amanah dan mempunyai kemampuan membantu menyelesaikannya.

Prinsipnya ialah mengecilkan lingkungan konflik, bukan memperbesarkannya.

Bahaya mendengar cerita sebelah pihak

Antara kesilapan besar masyarakat ketika berhadapan isu rumah tangga di media sosial ialah terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan satu hantaran atau satu video. Kita mungkin mendengar cerita selama lima minit sedangkan pasangan tersebut telah hidup bersama selama 10 atau 20 tahun.

Kita melihat satu tangkap layar, tetapi tidak mengetahui perbualan sebelum dan selepasnya. Kita mendengar luahan satu pihak, tetapi belum mendengar penjelasan pihak lain.

Namun, dalam masa beberapa minit sahaja sudah ada yang menulis: “Ceraikan sahaja.” “Suami seperti ini tidak berguna.” “Isteri seperti ini memang derhaka.” Malah ada yang mengeluarkan tuduhan yang jauh lebih berat.

Allah SWT mengingatkan: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka selidikilah kebenarannya.” (Surah al-Hujurat: 6)

Rasulullah SAW memberikan peringatan: “Cukuplah seseorang dianggap berdusta apabila dia menceritakan setiap perkara yang didengarinya.” (Riwayat Muslim)

Jika prinsip ini diamalkan, banyak fitnah di media sosial dapat dihentikan sebelum ia menjadi lebih besar.

Mengadu domba adalah dosa besar

Lebih berat daripada sekadar menyebarkan berita ialah apabila seseorang sengaja membawa percakapan daripada satu pihak kepada pihak yang lain dengan tujuan merosakkan hubungan mereka. Perbuatan ini disebut sebagai namimah.

Rasulullah SAW memberikan ancaman keras: “Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada zaman dahulu, seseorang mungkin perlu berjalan dari rumah ke rumah untuk membawa cerita. Hari ini, ‘namimah’ boleh berlaku hanya dengan sentuhan pada telefon.

Kita mengambil tangkap layar lalu menghantarnya kepada orang lain. Kita mengambil kenyataan seseorang lalu menghantarnya kepada pihak yang bermusuhan dengannya. Kita menandakan nama seseorang pada hantaran yang menghina pasangannya. Kita memotong video dan sebarkannya tanpa konteks. Kita menulis komen provokatif agar kedua-dua pihak kian marah.

Semua ini perlu dinilai dengan neraca agama

Jangan kerana tangan kita tidak menulis fitnah asal, kita merasakan kita bebas daripada dosa apabila menjadi orang yang menyebarkannya.

Membuka aib bukan perkara ringan. Islam sangat menjaga maruah manusia. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Muslim)

Rumah tangga mempunyai banyak perkara yang bersifat peribadi. Suami mengetahui kelemahan isterinya yang mungkin tidak diketahui orang lain. Begitu juga isteri tahu kelemahan suaminya.

Kepercayaan ini tidak seharusnya hilang hanya kerana berlaku perselisihan.

Apatah lagi perkara yang menyentuh hubungan intim antara suami isteri. Rasulullah SAW memberikan peringatan keras terhadap pasangan yang mendedahkan rahsia hubungan mereka kepada orang lain.

Mengadu untuk mendapat bantuan berbeza dengan membuka aib

Namun, jangan pula difahami Islam menyuruh seseorang berdiam diri apabila dizalimi.

Ada perbezaan yang besar antara mengadu untuk mendapatkan pertolongan dengan membuka aib untuk memalukan seseorang.

Jika berlaku keganasan rumah tangga, penderaan fizikal atau emosi, ancaman keselamatan, pengabaian nafkah, penipuan atau kezaliman, mangsa mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan.

Seseorang yang dizalimi boleh mengemukakan aduan kepada pihak yang mampu membantunya seperti ahli keluarga yang amanah, kaunselor, pihak berkuasa agama, mahkamah, polis atau agensi berkaitan.

Bezanya terletak pada tujuan, pihak yang menjadi tempat aduan dan kadar maklumat yang didedahkan.

Jika tujuannya untuk mendapatkan perlindungan dan hak, ia adalah aduan. Jika tujuannya semata-mata mahu mengaibkan, membalas dendam dan mengajak masyarakat membenci pasangan, kita perlu berhati-hati kerana ia boleh berubah menjadi dosa.

Media sosial bukan mahkamah rumah tangga

Kepada pasangan yang sedang menghadapi konflik, jangan membuat keputusan besar ketika emosi sedang memuncak. Jangan jadikan telefon sebagai senjata membalas pasangan.

Ambillah masa bertenang. Berbincanglah. Jika tidak mampu menyelesaikannya berdua, carilah orang tengah yang amanah. Dapatkan kaunseling. Jika melibatkan hak dan undang-undang, bawalah kepada pihak berautoriti.

Media sosial tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan siapa yang benar dan siapa yang salah dalam sesebuah rumah tangga.

Ribuan tanda suka tidak membuktikan seseorang berada di pihak yang benar. Ribuan komen menyokong juga tidak semestinya menjadikan sesuatu tuduhan itu benar.

Lebih membimbangkan apabila penderitaan rumah tangga akhirnya menjadi kandungan hiburan. Semakin panas konflik, semakin tinggi tontonan. Semakin sensasi pendedahan, makin ramai pengikut.

Jika berlaku perselisihan, carilah jalan perdamaian. Jika berlaku kezaliman, carilah saluran untuk mendapatkan keadilan.

Jika mengetahui aib seseorang, jangan tergesa-gesa menyebarkannya. Jika menerima sesuatu berita, lakukan tabayyun. Jika tidak mengetahui keseluruhan cerita, jangan mudah menghukum.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top