'Jangan campur tangan keputusan KPN' – PATRIOT

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pendedahan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung arahan penangguhan pertukaran pegawai kanan polis yang dikeluarkannya tidak wajar berlaku.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT),

Brig Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, berkata dakwaan berlaku campur tangan individu yang dimaksudkan itu adalah satu perkara yang membimbangkan.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar ia menunjukkan pihak terbabit cuba mencampuri urusan polis dengan membatalkan perintah yang dikeluarkan.

“Tindakan ini juga dilihat sebagai melampaui batas kuasanya (KPN).

“KPN mempunyai kuasa prerogatif dalam mengeluarkan perintah dan mengawal semua pegawai dan anggota yang berada di bawahnya, termasuk mengarahkan tindakan tatatertib dan menukar pegawainya.

“Seksyen 4(1) Akta Polis 1967 memberi kuasa kepada KPN dalam ‘kawalan dan arahan pasukan dan semua orang lain yang dilantik atau diguna khidmat untuk menjalankan tugas polis, dan hendaklah mempunyai semua kuasa yang diberi kepada seorang Pesuruhjaya atau seorang Ketua Pegawai Polis’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Akta Polis jelas memberi kuasa kepada KPN untuk melaksanakan tindakan tatatertib dan menukarkan pegawainya yang terletak di bawah bidang kuasanya.

“Suruhanjaya Pasukan Polis hanya mempunyai kuasa menukarkan pegawai atas alasan disiplin sekiranya tiada undang-undang yang boleh digunakan untuk memutuskan perkara itu, sedangkan Akta Polis memberikan kuasa itu kepada KPN.

“Oleh itu, adalah tidak wajar mana-mana ahli politik untuk mencampuri bidang kuasa KPN dalam mengambil tindakan tatatertib dan menukarkan pegawainya,” katanya.

Mohamed Arshad berkata, isu sindiket penipuan dan Macau Scam serta isu kartel yang mahu menguasai jawatan penting dalam pasukan polis juga masih belum reda, termasuk pembabitan segelintir anggota polis dalam kegiatan jenayah terancang.

“KPN sudah sedaya upaya membersihkan imej polis sejak menerajui pasukan itu pada 2019, selain secara berani dan terbuka menangani segala ‘salah laku’ yang sudah berlarutan sejak bertahun-tahun dalam pasukannya.

“Tindakan mengeluarkan arahan untuk menangguhkan pertukaran pegawai polis yang dikenakan tindakan tatatertib seperti diputuskan oleh KPN jelas berniat tidak baik dan melanggar Akta Polis,” katanya.

Katanya, apa saja usaha dilakukan untuk menggagalkan tindakan KPN dalam usahanya membersihkan imej polis dilihat sebagai satu tindakan sabotaj dan bertentangan dengan kehendak rakyat.

Semalam, Abdul Hamid yang akan bercuti sebelum bersara pada Mei ini mendedahkan ada pihak lain mengarahkan supaya perintah pertukaran pegawai kanan polis yang diluluskannya ditangguhkan.

Beliau dipetik sebagai berkata, tindakannya mengeluarkan perintah pertukaran itu seperti mana undang-undang menyatakan ‘Command and Control’ kawal selia polis adalah di bawah tanggungjawabnya sebagai KPN.

Justeru, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan pelaksanaan pertukaran jawatan pegawai kanan polis yang ditangguhkan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd