
Aaron-Wooi Yik mahu tampil lebih cemerlang tahun hadapan.
KETUA Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengingatkan pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik supaya tidak terlalu memikirkan soal mahu mempertahankan kejuaraan Badminton Asia (BAC) yang dimenangi mereka, tahun lepas.
Sebaliknya, Herry menyarankan agar pasangan yang menghuni ranking kedua dunia itu mengambil pendekatan berhati-hati dalam setiap perlawanan yang bakal ditempuhi bermula daripada pusingan pertama.
“Mempertahankan kejuaraan itu sudah tentu lagi berat. Jadi, saya berharap Aaron-Wooi Yik fokus satu demi satu perlawanan dan jangan fikir langsung tentang final.
“Hal ini kerana lawan mereka pada pusingan pertama bukan pasangan yang mudah untuk dikalahkan. Jadi, lebih bagus mereka memberikan fokus daripada satu perlawanan kepada satu perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini hari ini.
Pada BAC 2026 yang berlangsung di Ningbo, China awal bulan depan, bekas juara dunia itu yang diletakkan sebagai pilihan kedua bakal membuka tirai kejohanan bertemu dengan pasangan Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin.
Dalam pada itu, Herry berkata, beliau akan menggunakan analisis video bagi membantu pasangan negara itu untuk mengurangkan kesilapan ketika turun beraksi pada kejohanan berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan pembelajaran visual menerusi rakaman video dijangka memberikan impak yang lebih positif berbanding menggunakan arahan secara lisan.
“Biasanya sebelum kejohanan, kita nilai pemain menerusi rakaman video aksi mereka sebelum ini. Kalau kita sekadar bercakap kepada pemain, mereka akan dengar, tetapi kalau tayangkan video, mata mereka juga akan fokus,” katanya. – Bernama
Ringkasan AI
- Herry Iman Pierngadi menasihatkan Aaron-Wooi Yik agar tidak terlalu memikirkan mempertahankan kejuaraan BAC
- Pasangan negara diminta fokus satu demi satu perlawanan bermula dari pusingan pertama
- Mereka akan berdepan pasangan Taiwan dalam aksi pembukaan BAC 2026 di Ningbo
- Herry menggunakan analisis video sebagai kaedah meningkatkan prestasi pemain
- Pendekatan visual dipercayai lebih berkesan berbanding arahan lisan semata-mata



