Jangan fitnah, burukkan imej Masjid At-Taqwa TTDI

Jangan fitnah, burukkan imej Masjid At-Taqwa TTDI

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, menafikan dakwaan kekurangan jemaah ketika majlis berbuka puasa susulan tindakan boikot oleh jemaah.

Ia susulan tular video kelmarin menunjukkan ruang berbuka puasa di dalam masjid itu lengang walaupun pek makanan sudah disusun di atas tikar.

Pengerusinya, Datuk Mohd Fazli Yusof berkata, dakwaan itu tidak benar berikutan

kira-kira 800 hingga 1,000 individu hadir ke masjid itu sejak awal Ramadan lalu.

Menurutnya, tidak timbul isu suasana lengang seperti mana gambar tular di media sosial berikutan kebanyakan jemaah mula hadir memenuhi masjid bermula jam 7 malam.

Menurutnya, pihak masjid juga menyantuni semua jemaah yang hadir tanpa syarat dan ada ketikanya menempah makanan tambahan bagi menampung kehadiran jemaah diluar jangkaan.

“Pihak masjid mengambil serius mengenai sebahagian komen negatif yang boleh mencemarkan reputasi dan nama baik masjid.

“Untuk makluman, pihak masjid memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 bagi program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang Ramadan bagi tahun ini.

“Pihak masjid juga memperuntukkan makanan berbuka puasa untuk

diagihkan kepada orang awam di stesen transit aliran massa (MRT) Taman Tun Dr Ismail.

“Selain itu, pihak masjid mengambil inisiatif untuk menyantuni ahli kariah yang uzur dengan menghantar makanan ke rumah mereka serta sentiasa cakna untuk menerapkan adab kepada jemaah ketika berada di masjid,” katanya.

Mohd Fazli berkata, pihak pengurusan masjid juga sentiasa mengalukan kehadiran belia dan anak kecil ke masjid sebagai generasi pelapis yang mengimarahkan rumah Allah SWT.

Justeru, pihak masjid merancang pelbagai inisiatif untuk menyantuni golongan belia dan kanak-kanak.

“Antaranya adalah kelas mengaji Al-Quran mingguan untuk remaja dan kanak-kanak, hari kanak-kanak peringkat masjid, program Khatan Perdana dan program Kids Zone

sepanjang Ramadan dan program Semarak Cinta Al-Quran: Cilik Cinta Al-Quran.

“Selain itu, pihak masjid juga menyediakan program riadah seperti pertandingan karom

peringkat masjid, pertandingan e-sport dan sebagainya.

“Pihak masjid juga bersedia menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menggerakkan program belia dan kanak-kanak,” katanya.

Di samping itu, Mohd Fazli berkata, pihak pengurusan masjid juga menitikberatkan pemerkasaan program pengajian ilmu agama.

“Pihak masjid menyediakan barisan asatizah bertauliah yang mencakupi

pelbagai bidang pengajian ilmu agama.

“Setiap hari diadakan kuliah subuh, kuliah Maghrib, kuliah dhuha dan kuliah Zuhur muslimat.

“Pihak masjid sentiasa merencana perancangan yang terbaik untuk ahli kariah, khususnya bagi mereka yang sentiasa melazimi solat berjemaah di masjid.

“Untuk makluman, jemaah muslimin dan muslimat yang solat berjemaah di masjid pada waktu subuh dalam lingkungan 500 orang setiap hari,” katanya.

Mohd Fazli berkata, pihak masjid menyeru semua pihak supaya menjadikan Ramadan kali ini sebagai satu manifestasi kehambaan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Raikan kepelbagaian dalam perbezaan untuk menyemai kesatuan dalam titik persamaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top