KUALA LUMPUR: Bakal mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan pasangan yang ingin berkahwin agar tidak menggadaikan simpanan semata-mata mahu mengejar kemewahan majlis sehari.
Menurut Syed Saddiq, dia dan Bella sendiri cuba memastikan setiap persiapan perkahwinan dilakukan mengikut kemampuan meskipun menerima kerjasama daripada pelbagai pihak dan jenama.
“Saya ada berkongsi dengan bakal isteri, kita lakukan sebaik mungkin mengikut kemampuan kerana kami juga mahu menyampaikan mesej yang baik.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Jangan kita menggadaikan segala simpanan hanya untuk kemewahan sehari, tetapi akhirnya terpaksa menanggung hutang dan beban untuk berdekad-dekad akan datang.
“Salah satu isu utama yang boleh menjejaskan rumah tangga adalah masalah kewangan dalam keluarga. Saya seorang yang melihat kepada data, jadi saya memandang perkara ini dengan sangat serius dan tidak mahu anak-anak muda di luar sana terikut-ikut,” katanya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Muar itu turut menegaskan dirinya kurang bersetuju apabila perkahwinannya bersama Bella digelar sebagai ‘wedding of the year’, selain percaya setiap pasangan berhak merasakan hari perkahwinan mereka sebagai sesuatu yang istimewa.
“Apabila ada yang mengatakan perkahwinan kami sebagai ‘wedding of the year’, saya kurang bersetuju. Bagi saya, setiap pasangan yang berkahwin, hari itu adalah ‘wedding of the year’ buat mereka.
“Kita tidak boleh mengambil keistimewaan dan nikmat menghalalkan hubungan itu daripada mana-mana pasangan. Tidak kira siapa mereka atau apa kedudukan mereka, kita semua sama apabila tiba hari istimewa masing-masing. Saya berharap itulah mesej yang dapat kami sampaikan,” tegasnya.
Pun begitu, Syed Saddiq memohon maaf sekiranya terdapat kenalan atau pihak tertentu yang tidak menerima jemputan ke majlis mereka kerana upacara tersebut bakal diadakan secara kecil-kecilan yang hanya dihadiri kenalan rapat serta keluarga.
“Kalau ada yang tidak mendapat jemputan atau tidak dapat bersama secara fizikal pada hari tersebut, saya terlebih dahulu ingin memohon maaf.
“Bukan Bella, tetapi saya yang menjadi ‘pengurus kewangan’ dan juruaudit. Kalau boleh, memang kita mahu membawa kesemua 33 juta rakyat Malaysia bersama-sama meraikannya.
“Tetapi realitinya, kami tidak mahu bergadai-golok hanya kerana keistimewaan satu hari dan lebih teruk lagi, menghantar isyarat yang tidak baik kepada anak-anak muda di luar sana,” selorohnya.
Syed Saddiq dan Bella dijadual melangsungkan akad nikah di Menara Merdeka 118 pada 10 Oktober ini.
Kemudian, pasangan itu akan mengadakan dua majlis resepsi bertemakan Kenduri Rakyat di Muar, Johor yang bakal berlangsung pada 25 Oktober, diikuti Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober. -UTUSAN




