Jangan gopoh-gapah dalam solat

KALAU dalam dunia ini kita suka akan seseorang itu, kita pasti tidak kisah untuk duduk lama bersamanya. Begitu juga kita dengan Tuhan, kalau kita kasih dan cinta kepada-Nya, tentulah kita akan suka untuk lama bersama-Nya. Oleh itu, jangan kita terburu-buru semasa mendirikan solat, kerana pada ketika itu kita sedang meminta dengan Allah Yang Maha Agung.

Advertisement

Janganlah kita hanya fikir untuk selesai solat kita tanpa memikirkan adakah Tuhan menerima atau menolak solat kita. Juga jangan sesekali kita hanya mengira soal sah dan batal sahaja, tanpa mengira keberkatan yang ada pada setiap pergerakan dan ucapan dalam solat itu.

Kalau di atas dunia ini tiada manusia yang tergopoh-gapah di hadapan raja kerana menghormatinya, inikan pula kita apabila berhadapan dengan Tuhan kita. Ingatlah bahawa solat adalah amalan pertama yang dihitung di hari akhirat.

Apakah perasaan kita nanti kalau kita lihat solat kita yang tidak dipelihara tertib dan adabnya, tentulah kita akan merasa malu dan aib di hadapan-Nya. Ingatlah orang yang berjaya di hari akhirat nanti ialah orang yang khusyuk dalam solatnya. Firman Allah S.W.T:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ‎﴿١﴾‏ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ‎﴿٢﴾

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

(al-Mu’minun: 1-2)

Marilah kita melakukan solat kita dengan tenang dan sempurna. Semoga Allah menerima amalan kita, tanda ketaatan kita kepada-Nya.

Ya Allah, terimalah amalan kami yang sedikit ini, terimalah amalan kami yang tidak sempurna ini, dan ampunilah kami atas kecuaian kami selama ini. Amin.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 24/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100050311487174/posts/451236843230028/