'Jangan guna kekerasan terhadap pegawai keluarkan kompaun kepada perokok'

'Jangan guna kekerasan terhadap pegawai keluarkan kompaun kepada perokok'

am@hmetro.com.my

Kulim: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan golongan perokok tidak menggunakan kekerasan kepada pegawai bertugas di lapangan yang mengeluarkan kompaun atau notis kesalahan terhadap mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata perlu bertimbang rasa dengan pegawai yang menjalankan tugas kerana mereka didapati merokok di zon larangan.

Menurutnya, pegawai tersebut menjalankan tugas menerusi akta yang diperuntukkan oleh Parlimen kepada KKM.

“Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah untuk kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

“Kita tidak mempunyai kes secara bertulis yang serius (laporan berlaku kekerasan), tetapi kita boleh melihat daripada reaksi di laman sosial, netizen ataupun komen yang kita lihat di mana kadang-kadang (ada) kemarahan.

“Saya melihat kita di Malaysia ini data menunjukkan hampir 80 peratus rakyat kita adalah bukan perokok. Maka kita perlu melihat kepentingan majoriti tersebut,” katanya selepas merasmikan Wellness Hub Kulim dan Penyerahan Kunci Pusat Rekod Perubatan Zon Utara di sini, hari ini.

“Untuk rekod secara bertulis kita mempunyai hampir 14,453 notis kesalahan dan juga bagi notis larangan merokok kita mempunyai 14,337. Bagi Kedah pula notis kesalahan adalah sebanyak 493,” katanya.

Dalam pada itu, Lukanisman turut menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik dan KKM kini giat menjalankan kajian berkaitan kesan sampingan akibat penggunaannya.

“Sebagai contoh, penyakit paru-paru iaitu E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI), yang berpunca daripada rokok elektronik termasuk vape… dalam tempoh dua minggu rawatan membabitkan kos hampir lebih RM100,000 dan ini akan membebankan.

“Kita membelanjakan hampir RM200 juta untuk screening (saringan kesihatan) berkaitan dengan penyakit penyakit rokok dan juga kanser yang diakibatkan oleh rokok ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top