Jangan guna ‘standard’ berbeza uji keikhlasan Pas di Terengganu

​KUALA TERENGGANU — Pas Terengganu membidas cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyarankan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di Terengganu semata-mata bagi ‘menguji’ keikhlasan parti itu dalam membina kerjasama politik.

​Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, timbul persoalan besar mengenai piawaian dan formula yang digunakan UMNO memandangkan ia kelihatan kerap berubah mengikut kepentingan di sesebuah negeri.

​Menurut beliau, Pas sentiasa menghormati pendirian UMNO yang mempertahankan kerusi kemenangan mereka seperti di Johor dan Negeri Sembilan, malah ahli serta penyokong Pas turut digerakkan untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Pas.

​”Kerusi yang UMNO menang, Pas hormati. Kerusi yang Pas menang, sewajarnya dihormati dengan prinsip yang sama.

​”Tidak wajar jika mempertahankan kerusi kemenangan dianggap hak parti apabila dilakukan UMNO, tetapi jika pendirian yang sama diambil Pas di Terengganu, ia dikaitkan pula dengan soal keikhlasan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, UMNO mencadangkan PRN Terengganu dijadikan medan menguji keikhlasan rakan politik, khususnya dalam gabungan SG4 bagi untuk membuktikan sejauh mana komitmen terhadap kerjasama dan penyatuan ummah Melayu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu lalu berkata, pilihan raya di salah satu negeri SG4 itu penting bagi melihat sama ada kerjasama yang dijalin benar-benar berasaskan persefahaman bersama atau sekadar memberi keuntungan kepada satu pihak.

Dalam pada itu, ​Mohd Harun turut melempar persoalan sekiranya logik pembubaran DUN untuk menguji keikhlasan itu wajar terpakai di negeri-negeri lain seperti Pahang dan Perak.

​Bahkan, beliau menggesa Mohamad Hasan untuk mencerminkan ujian keikhlasan itu terhadap kedudukan UMNO sendiri dalam Kerajaan Madani.

​”Jika jawatan dan kedudukan dalam kerajaan mahu dijadikan ukuran, adakah Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia melepaskan jawatan dalam kerajaan yang turut disertai Pakatan Harapan (PH)?

​”Adakah UMNO juga bersedia keluar daripada Kerajaan Madani yang turut disertai DAP sebagai bukti keseriusan menolak PH, jika itu mahu dijadikan ukuran keikhlasan?” soalnya lagi.

​Beliau merujuk contoh keputusan pemilihan Senator di Perak baru-baru ini di mana calon PKR mendapat 33 undi manakala calon Pas meraih 26 undi sebagai bukti Pas tidak menjadikan keadaan itu untuk mempertikaikan keikhlasan mana-mana pihak.

​Katanya, Pas kekal mengutamakan agenda besar penyatuan ummah dan menggesa agar sebarang usaha kerjasama dipandu oleh prinsip serta formula yang adil dan konsisten.

​”Formula mesti sama. Prinsip mesti sama. Usah susahkan jalan penyatuan, ayuh cari kesepakatan,” katanya.

Scroll to Top