Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai ‘tong sampah’ terutamanya sepanjang musim perayaan ini.
Beliau berkata, lebih 300 penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memantau keadaan sempena raya, dan mereka yang ditangkap berdepan denda RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 jam.

“Jika ada sampah, simpan dalam kereta dan apabila sampai ke destinasi, buang dalam tong sampah. Hukuman khidmat masyarakat menanti anda.
“Tak kira kamu siapa… yang dewasa, kanak-kanak ataupun warga asing, hukuman itu terpakai kepada semua orang,” katanya, hari ini.

Artikel lain: Hargai nikmat keamanan, Nga Kor Ming gesa tindakan tegas terhadap provokasi agama
Sejak 1 Januari lalu, Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dilaksanakan di beberapa negeri, termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sehingga pagi ini, 1,054 ‘ulat sampah’ ditangkap di seluruh negara dan akan didakwa di mahkamah.
“Ramai sudah mula menjalani hukuman khidmat masyarakat.
“Ada dikompaun RM2,000, buat kerja sapu jalan, cuci longkang, cuci tandas selama 12 jam. Jika satu hari tidak boleh selesai, kena buat enam kali iaitu satu hari dua jam sehingga selesai enam kali,” katanya.

Tambah beliau, majoriti kesalahan kecil membuang sampah melibatkan puntung rokok.
“Jangan kerana satu puntung rokok dibuang, kamu didenda RM2,000, sapu jalan 12 jam. Tidak berbaloi,” tegasnya.
Sumber: BH Online (Ruwaida Md Zain)




