bhnews@@bh.com.my
PUTRAJAYA: Individu yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan mengikut janji temu ditetapkan berisiko meningkatkan jangkitan COVID-19, berikutan akan berlaku kesesakan sukar dikawal.
Sehubungan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata mengingatkan semua pihak supaya hanya ke PPV apabila mendapat notifikasi menerusi aplikasi MySejahtera atau dihubungi petugas pusat terbabit.
“Saya merayu jangan datang ke PPV sekiranya tidak ada janji temu melalui MySejahtera atau tidak terima panggilan pada hari itu kerana anda tersenarai dalam senarai menunggu.
“Memang betul ada yang menerima janji temu dan tidak datang, tetapi tolong jangan datang tanpa janji temu,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Khairy berkata, setiap PPV mempunyai senarai menunggu yang boleh dihubungi bagi mengisi slot yang tidak dapat diberi kepada penerima yang tidak hadir pada tarikh janji temu.
Sejak dua minggu lalu, beberapa PPV di seluruh negara menyaksikan peningkatan kehadiran orang ramai sehingga berlaku kesesakan, dipercayai mencuba nasib untuk memperoleh vaksin yang tidak dapat digunakan kerana penerimanya tidak hadir.
Kehadiran mereka termasuk warga emas turut dirakam dan dikongsikan dalam media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan penularan wabak COVID-19.
© New Straits Times Press (M) Bhd




