bhnews@nstp.com.my
KOTA BHARU: “Saya tidak pernah kata hidup kami susah, mahupun meminta bantuan. Namun, jumlah kompaun RM50,000 itu terlalu besar bagi kami yang mencari makan dengan berniaga.
“Kami juga tidak mahu perkara ini (kompaun RM50,000) dikenakan kepada peniaga lain,” kata Norlaili Shafien, 37.
Norlaili, isteri kepada peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang dikenakan kompaun RM50,000 ketika berniaga di depan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, di sini, Ahad lalu atas kesalahan berniaga lebih had masa.
Norlaili berkata, dia dan suami tidak pernah menerima bantuan daripada orang ramai yang mahu membantu mereka membayar jumlah kompaun itu.
“Saya tidak menerima bantuan itu kerana masih tidak tahu jumlah sebenar kompaun yang dikenakan kepada kami.
“Memang ramai nak bantu dan minta nombor akaun bank. Namun, setakat ini kami tidak mahu menerima bantuan berkenaan kerana tidak mahu menimbulkan sebarang isu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Mengulas berhubung isu viral kehidupan mewah mereka suami isteri di laman Facebook, Norlaili berkata, rumah yang didiami atas tanah pusaka itu dibina hasil simpanannya yang berniaga burger selama 16 tahun, jual kuih-muih dan tudung.
Katanya, beliau juga terpaksa menjual barang kemas sebanyak RM30,000 serta meminjam daripada ibu dan adik-beradiknya.
“Kami kerja siang malam mencari wang untuk membuat rumah dan membeli kereta kerana selama ini kami menumpang di rumah ibu selama 11 tahun bersama tiga adik-beradik yang lain,” katanya.
Ditanya mengenai gambar yang tular dia dan suaminya makan daging wagyu yang bernilai RM900 itu, Norlaili berkata, dia berkongsi bayar dengan tiga adik-beradiknya.
“Saya minta orang ramai tidak mengecam kami kerana kami tidak pernah mengambil kesempatan terhadap isu ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd