Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani berkongsikan mengenai didikan terhadap anak-anak.
Menerusi satu video temu bual, Sharifah Mahani berkata cara mendidik anak-anak berbeza apatah lagi mereka memiliki personaliti berlainan.
“Setiap anak-anak mereka didik dengan cara berlainan, kita tak boleh samakan. Contohnya, kita ada lima jari tetapi bentuknya dan ukurannya berlainan. Jadi samalah seperti anak-anak.
“Tak semestinya kita kena beri didikan yang sama. Ada anak-anak mudah merajuk, ada yang berdikari, ada yang boleh bertoleransi dan setiap orang,” katanya.
Sementara itu, Sharifah Mahani berkata ibu bapa juga perlu lakukan pendekatan mengikut personaliti setiap anak-anak sebagai contoh ada yang boleh menerima teguran secara terus namun ada yang memerlukan pujian terlebih dahulu.
“Kita kena pandai ‘tackle’ setiap satu daripada mereka. Anak-anak saya pun pernah berkata, kadang-kadang saya nampak macam berat sebelah kepada anak yang lain.
“Tetapi sebenarnya tidak, kita sebenarnya kena ‘tackle’ mereka. Ada anak kita boleh terus tegur, ada anak kita kena puji dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Sharifah Mahani berkata apa yang penting adalah keikhlasan sebagai seorang ibu dan tidak melemparkan kata-kata kesat kepada anak-anak.
“Tapi yang penting keikhlasan kita, sebagai seorang ibu. Jangan sesekali mengeluarkan perkataan kesat, kerana itu akan berbalik kepada diri kita,” katanya.




